Perdana Menteri, Wen Jiabao yang sedang mengadakan lawatan rasmi di Jerman mengadakan pertemuan dengan Canselor Jerman, Angela Merkel di Berlin semalam. Kedua-dua pihak mencapai persepakatan mengenai banyak perkara seperti pengukuhan hubungan China-Jerman dan kerjasama untuk menangani krisis kewangan.
Wen Jiabao menyatakan, situasi politik dan ekonomi antarabangsa pada masa ini pancaroba, kepentingan bersama China-Jerman semakin meluas. Bekerjasama untuk menangani krisis kewangan merupakan tugas utama bagi kedua-dua pihak.
Merkel menyatakan bahawa Jerman bersedia terus meningkatkan dialog dan kerjasama antara kedua-dua negara. Jerman dan China sepatutnya meningkatkan kerjasama untuk menangani krisis kewangan. Kedua-dua pihak bersetuju berusaha bersama untuk mendorong perdagangan dan pelaburan dua hala, menyokong kerjasama syarikat kecil dan sederhana serta mempererat kerjasama dalam usaha penjimatan tenaga dan perlindungan alam sekitar. Selepas rundingan itu, Wen Jiabao dan Merkel menghadiri upacara penandatanganan siri dokumen kerjasama dua hala dan mengeluarkan "kenyataan bersama mengenai kerjasama China-Jerman untuk menstabilkan situasi ekonomi dunia".
Wen Jiabao dan Merkel semalam juga bersama-sama menghadiri Forum Kerjasama Ekonomi dan Teknologi China-Jerman ke-5 yang diadakan di Berlin. Wen Jiabao telah menyampaikan ucapan yang bertajuk "memperkukuh Keyakinan, Mempererat Kerjasama dan Bersama-sama Mengatasi Kesukaran Semasa". Dalam ucapannya, Wen Jiabao berkata, China dan Jerman perlu meningkatkan kerjasama ekonomi dan teknologi dalam usaha bersama-sama menghadapi krisis kewangan agar mendorong ekonomi kedua-dua negara mencapai hasil yang lebih cemerlang.
Mengakhiri lawatan di Jerman, Wen Jiabao telah tiba di Brussels malam tadi untuk mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat Kesatuan Eropah.