Cari:
China dan Jerman Perlu Tingkatkan Kerjasama dalam Bidang Ekonomi
2009-01-30 15:37:59 CRI Cetak

Forum Kerjasama Ekonomi dan Teknologi China-Jerman ke-5 telah dirasmikan di Berlin semalam. Perdana Menteri China, Wen Jiabao dan rakan sejawatnya dari Jerman, Angela Merkel serta kira-kira 400 orang usahawan, sarjana dan pegawai kerajaan telah menyertai forum tersebut. Wen Jiabao menyatakan bahawa kedua-dua negara tersebut perlu meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan teknologi untuk mengatasi krisis kewangan serta mendorong pertumbuhan ekonomi. Angela Merkel pula berkata, Jerman perlu menjalin hubungan kerjasama yang erat dengan China.

Wakil dari China dan Jerman telah mengadakan perbincangan tentang maklumat elektronik, perubatan biologi, perlindungan alam sekitar, infrastruktur dan sumber tenaga dalam forum tersebut. Perdana Menteri Wen Jiabao yang telah beberapa kali menghadiri forum tersebut yakin bahawa China dan Jerman akan berjaya mengatasi krisis kewangan melalui kerjasama antara satu sama lain. Katanya, "Kerjasama yang erat dalam bidang ekonomi merupakan tonggak utama dalam hubungan dua hala China-Jerman. Kerjasama tersebut telah ditingkatkan secara besar-besaran pada beberapa tahun kebelakangan ini. China dan Jerman perlu berusaha meningkatkan keyakinan pengeluar, pelabur dan pengguna dalam pasaran antarabangsa. Selain itu, kedua-dua negara kita perlu meningkatkan penyelarasan dan kerjasama untuk mengatasi krisis kewangan serta mendorong pertumbuhan ekonomi."

China dan Jerman saling merupakan rakan dagangan yang terbesar di rantau masing-masing. Walaupun dilanda krisis kewangan, jumlah perdagangan antara kedua-dua pihak masih melebihi 100 bilion dolar Amerika pada tahun yang lalu. Tahap kerjasama antara kedua-dua negara tersebut dalam bidang pelaburan juga amat tinggi. Jumlah pelaburan syarikat-syarikat Jerman di China mencatat 15 bilion dolar Amerika. Selain itu, China juga mengimport teknologi yang paling banyak dari Jerman.

Menurut Wen Jiabao, China akan menghantar rombongan perdagangan ke Jerman untuk mengimport barangan, teknologi dan kelengkapan daripada negara itu. Beliau telah mengemukakan cadangan yang menandungi lima perkara untuk mendorong pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara tersebut, termasuk meningkakan jumlah perdagangan dan pelaburan, meningkatkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi canggih serta perlindungan alam sekitar, meningkatkan kerjasama antara syarikat sederhana dan kecil, serta meningkatkan kerjasama dan penyelarasan dalam hal ehwal antarabangsa. Selain meningkatkan kerjasama ekonomi dengan Jerman, China juga menantikan kerjasama yang lebih mendalam dengan Kesatuan Eropah dalam bidang ekonomi dan perdagangan, khususnya eksport teknologi. Katanya, "Syarikat-syarikat di Eropah sepatutnya meningkatkan ekport teknologi dan kelengkapan yang canggih kepada China kerana ini dapat mengatasi masalah kewangan mereka di samping memenuhi permintaan China. Kerajaan China amat mementingkan perlindungan harta intelek dan telah mengambil pelbagai langkah dalam bidang tersebut. Kami berharap Kesatuan Eropah dapat menghapuskan sekatan terhadap China tentang ekport teknologi maju dengan seawal mungkin agar meningkatkan kerjasama antara satu sama lain dalam bidang tersebut. Kami juga menyeru masyarakat antarabangsa meningkatkan kerjasama dalam bidang penerokaan dan pengalihan teknologi untuk menghadapi masalah perubahan iklim agar negara-negara membangun dapat menggunakan teknologi tersebut untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau."

Canselor Angela Merkel menyatakan bahawa menjalin hubungan kerjasama yang erat dengan China amat penting bagi Jerman. Katanya, "Negara China yang membangun secara harmoni, pesat dan mapan amat penting bagi Jerman. Jerman dijangka akan mengalami kemerosotan ekonomi pada tahun ini, tetapi pertumbuhan ekonomi China dijangka agak mantap. Keadaan ini akan meningkatkan jumlah ekport Jerman ke China."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China