Cari:
Pekerja dari Desa Dibantu Mendapatkan Kerja Selepas Kembali ke Kampung Halaman
2009-02-03 16:13:15 CRI Cetak

Kini, sesetengah syarikat pengeksport di kawasan pesisir pantai China terpaksa ditutup atau menghentikan operasi mereka akibat dilanda krisis kewangan global. Hal ini mengakibatkan sejumlah besar pekerja dari kawasan desa yang bekerja di syarikat-syarikat tersebut kehilangan kerja, dan terpaksa kembali ke kampung halaman mereka. Sekarang, badan-badan yang berkenaan di seluruh negara sedang mengambil pelbagai langkah untuk membantu menyediakan peluang kerja kepada mereka.

Encik Zhang yang berasal dari provinsi Sichuan sebelum ini berkhidmat di sebuah kilang barangan elektronik di bandar Shenzhen, selatan China. Dia berharap boleh mendapat kerja selepas kembali ke kampung halamannya. Namun, dia merasa kecewa apabila mendapati tidak ada kerja yang sesuai yang ditawarkan kepadanya di pasaran tenaga manusia di bandar Chengdu, ibu kota provinsi Sichuan. Pegawai kanan pasaran tenaga manusia di situ, Encik Huang Jie memberitahunya: "Peluang kerja di kilang barangan elektronik di sini amat sedikit kerana bandar Chengdu ini agak maju dengan sektor perkhidmatannya. Perkara yang paling penting sekarang adalah mencari rezeki. Oleh itu, lebih baik dapatkan sahaja satu kerja dahulu walaupun ia mungkin tidak berapa sesuai."

Setakat akhir tahun yang lalu, seramai hampir sejuta orang penduduk desa dari Provinsi Sichuan yang bekerja di luar kawasan terpaksa kembali ke kampung halaman mereka akibat kesan krisis kewangan sejagat, kebanyakan mereka ini berkhidmat dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.

Ketua Jabatan Pekerjaan untuk Penduduk Desa Provinsi Sichuan, Encik Leng Rongzhong memaklumkan bahawa penduduk desa yang gagal mendapat kerja selepas tiga bulan kembali ke kampung halaman akan didaftarkan. Mereka akan dibantu untuk mendapatkan kerja. Kata beliau: "Kerajaan tempatan akan membantu menawarkan kerja dalam usaha pembangunan semula pascagempa kepada mereka di samping memberikan subsidi pengganguran berdasarkan piawaian yang tertentu. Selain itu, kerajaan juga akan melaksanakan dasar keutamaan dan memberikan pinjaman wang kepada para penganggur untuk memajukan perniagaan sendiri."

Menurut pegawai daripada Kementerian Sumber Manusia dan Jaminan Sosial, pekerja dari kawasan desa akan diberi risalah panduan khas secara percuma. Risalah ini mengandungi maklumat tentang permintaan pekerja di pelbagai tempat, pengetahuan awam tentang kehidupan dan pekerjaan di bandar serta kaedah untuk menjaga kepentingan sendiri.

Jabatan Perkhidmatan Pengambilan Pekerja Awam Kementerian Sumber Manusia dan Jaminan Sosial, Encik Ming Hong berkata: "Kami akan berusaha membuat penyelarasan antara pihak yang menyediakan tenaga manusia dengan pihak yang memerlukan pekerja, supaya pekerja dari kawasan desa boleh mendapat kerja dengan lebih mudah."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China