Salah satu tujuan lawatan Wen Jiabao kali ini adalah untuk memulihkan keyakinan masyarakat antarabangsa, dan mempererat kerjasama dalam mengatasi kesukaran sekarang. Sebelum mengakhiri lawatannya, Wen Jiabao menyatakan bahawa:
"Lawatan saya kali ini telah membuahkan hasil yang amat memberangsangkan. Pada pandangan saya, ekonomi Eropah dan China mempunyai potensi yang agak besar untuk dibangunkan. Saya yakin, kedua-dua pihak berkemampuan untuk menangani krisis kewangan yang serba mencabar ini."
Dalam lawatannya kali ini, Wen Jiabao telah menerangkan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan China untuk menangani krisis kewangan. Beliau menyeru masyarakat antarabangsa supaya meningkatkan kerjasama untuk sama-sama berusaha ke arah memastikan krisis tersebut ditangani dengan jayanya. Kata beliau:
"Pada pandangan saya, sumbangan yang boleh diberikan oleh China kepada pertumbuhan ekonomi dunia boleh dilihat dari tiga aspek: Pertama, mengambil tindakan yang berkesan untuk menangani tempias krisis tersebut terhadap ekonomi dalam negeri. Inilah sumbangan yang paling besar bagi ekononi dunia. Kedua, meningkatkan penyelarasan dan kerjasama dengan masyarakat antarabangsa, dan sama-sama berusaha ke arah memulihkan ekonomi dunia, dan membentuk satu sistem kewangan antarabangsa yang adil, saksama dan teratur. Dan ketiga, memelihara kepentingan negara-negara membangun, dan membantu negara miskin tegar mengurangkan kerugian akibat krisis tersebut."
Sebagai hasil lawatan kali ini, 38 buah perjanjian kerjasama yang bernilai 15 bilion yuan RMB telah ditandatangani dengan pihak-pihak yang berkenaan. Perjanjian tersebut meliputi beberapa bidang, termasuklah teknologi tinggi dan tenaga alternatif. Wen Jiabao juga memutuskan untuk menghantar kumpulan pembeli ke Eropah untuk membeli teknologi, alat dan barangan yang perlu di sana.
Selain berbincang tentang kaedah mengatasi krisis kewangan, menetapkan arah perkembangan hubungan antara kedua-dua pihak juga merupakan salah satu tujuan utama lawatan Wen Jiabao kali ini. Mengenai hal ini, Wen Jiabao menyatakan bahawa:
"Dalam lawatan ini, saya telah bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin negara-negara yang berkenaan serta pemimpin EU. Kami dengan sebulat suara berpendapat bahawa muafakat dan kerjasama antara China dengan Eropah bukan sahaja memberikan manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak, malah memberikan teladan yang baik kepada masyarakat antarabangsa. Jadi, ketika berdepan dengan situasi yang rumit ini, kedua-dua pihak hendaklah terus berusaha untuk menyumbang kepada kewujudan dunia yang harmoni dan pembangunan masyarakat secara berterusan."
Para pemimpin tersebut dengan sebulat suara menganggap pembangunan ekonomi China sebagai "pemacu" pertumbuhan ekonomi dunia. Mereka membuat komitmen akan dengan tegas menentang faham perlindungan perdagangan.