Cari:
China Mengemukakan Rancangan untuk membangunkan Industri Tekstil dan Pembuatan Mesin
2009-02-05 17:44:08 CRI Cetak

Dewan Negara China semalam mengemukakan rancangan bagi membangunkan semula industri tekstil dan industri pembuatan mesin yang menjadi lembap akibat dilanda kesan negatif krisis kewangan sejagat. Menurut rancangan tersebut, kadar pengembalian cukai eksport terhadap barangan pakaian dan tekstil akan meningkat kepada 15% daripada 14% sebelum ini. Walaupun angka itu lebih rendah daripada 17% yang dijangkakan sebelum ini, namun tindakan ini tetap dianggap akan menambah keuntungan sebanyak beberapa bilion Yuan Renminbi kepada sektor tekstil.

Sektor tekstil China yang lebih bergantung pada usaha eksport dan mempunyi tenaga kerja yang berjumlah besar merupakan salah satu sektor yang paling teruk dilanda krisis kewangan pada masa ini. Bagi tempoh dari bulan Januari hingga November tahun yang lalu, jumlah keuntungan yang diperoleh syarikat tekstil dan pakaian China, buat pertama kalinya, mengalami penurunan dalam tempoh 10 tahun yang lalu, malah 2/3 daripada syarikat-syarikat tersebut mengalami kerugian.

Jurucakap Persatuan Industri Tekstil China, Encik Sun Huaibin berkata bahawa rancangan yang bertujuan membangunkan semula industri tekstil itu akan memberikan sokongan berupa pinjaman wang kepada syarikat tekstil yang menghadapi masalah dari segi pengurusan dan kewangan di samping memberikan keutamaan dari segi kutipan cukai kepada syarikat-syarikat tersebut. Kata beliau: "Hal ini akan membantu syarikat-syarikat tekstil mengatasi masalah kekurangan modal. Pinjaman wang yang disediakan oleh pihak bank akan membantu memastikan pergerakan modal dan operasi syarikat-syarikat itu berjalan dengan lancar."

Ketika menyebut tentang peningkatan kadar pengembalian cukai eksport terhadap barangan tekstil, Naib Pengerusi Persatuan Industri Tekstil China, Encik Zhang Yankai menyatakan bahawa, walaupun peningkatan kadar itu lebih rendah daripada yang diharapkan, namun ia tetap dialu-alukan oleh syarikat tekstil. Kata beliau:

"Peningkatan kadar pertukaran RMB dan kos tenaga kerja menyebabkan keuntungan syarikat tekstil China menurun ketika mengeksport barangan mereka. Oleh yang demikian, peningkatan pengembalian cukai eksport pada kadar 1% ini akan membantu menambah keuntungan syarikat tekstil dengan ketara memandangkan keuntungan sesetengah syarikat tersebut hanya mencatat kadar 2% sebelum ini.

Di samping itu, rancangan bagi membangunkan semula industri pembuatan mesin pula menggariskan pelbagai pendekatan untuk mendorong penyelidikan dan inovasi dalam industri pengeluaran mesin teknologi berdasarkan projek-projek yang penting.

Naib Pengerusi Persatuan Industri Mesin China, Encik Cai Weici berkata: "Pelaksanaan projek-projek yang penting itu akan membantu meningkatkan tahap penyelidikan dan pembangunan bagi produk mesin kita. Hal ini amat bererti kerana ia juga berfaedah bagi meningkatkan permintaan dalam negeri sebagaimana yang diharapkan oleh kerajaan."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China