Perdana Menteri China, Wen Jiabao telah melawat empat buah negara di Eropah dan ibu pejabat Kesatuan Eropah (EU) pada penghujung bulan yang lalu, manakala Naib Presiden, Xi Jinping semalam telah memulakan lawatannya ke beberapa buah negara di Amerika Latin. Bermula 10 hingga 17 Februari ini, Presiden Hu Jintao pula akan melawat Arab Saudi, Mali, Senegal, Tanzania dan Mauritius. Kesemua kegiatan diplomatik yang dilakukan oleh pemimpin China ini menunjukkan keinginan kerajaan dan rakyat negara ini untuk bekerjasama dengan dunia, dan mencerminkan keyakinan China dalam menangani krisis kewangan global.
Pendapat umum di Asia Barat dan Afrika menganggap lawatan Presiden Hu kali ini pasti akan memperkukuh hubungan China dengan negara-negara di rantau itu, menjayakan kerjasama antara China dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan mendorong pelaksanaan perjanjian yang dicapai dalam Sidang Kemuncak Beijing Forum Kerjasama China-Afrika.
Pendapat umum di Arab Saudi pula beranggapan bahawa lawatan Hu ini akan mendorong pembangunan hubungan persahabatan strategik antara China dengan negara itu, dan meningkatkan terus kerjasama antara China dengan GCC. Presiden Mali, Amadou Toumani Toure menyatakan bahawa lawatan Hu kali ini akan menjadi sejarah dan memperlihatkan hubungan persahabatan yang sangat karib antara kedua-dua negara. Setiausaha Agung Pejabat Presiden Senegal, Abdoulaye Balde menyatakan bahawa Presiden Hu merupakan ketua negara China yang pertama yang melawat negara itu. Lawatan ini pasti akan mendorong perkembangan hubungan rakan strategik yang baru antara kedua-dua negara itu. Di samping itu, kerajaan Tanzania dan Mauritius pula menanti-nantikan lawatan Presiden Hu ke negara masing-masing.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Wen Jiabao baru mengakhiri lawatannya ke Eropah. Akhbar "New York Times" dan "The Financial Times" mengeluarkan kenyataan yang berbunyi bahawa lawatan ini telah membawa sinar harapan bagi prospek ekonomi Eropah. Lawatan tersebut merupakan satu "lawatan yang penuh keyakinan". Ia bukan sahaja memperkukuh keyakinan masyarakat antarabangsa untuk menangani krisis semasa, malah juga menunjukkan keazaman China untuk memegang terus dasar pembaharuan dan pintu terbuka, serta kemampuannya untuk mengatasi masalah kemerosotan ekonomi global.
Keyakinan yang teguh merupakan sumber kuasa untuk menangani krisis semasa; kerjasama yang pragmatik merupakan pendekatan yang paling berkesan untuk menangani krisis semasa; dan tanggungjawab yang terpikul di atas bahu setiap negara merupakan asas yang penting bagi menangani krisis semasa. Menurut cadangan Wen Jiabao, keyakinan, kerjasama dan tanggungjawab merupakan tiga preskripsi yang berkesan untuk merawat dunia yang dilanda krisis kewangan yang kronik.
Selain menunjukkan keyakinan dalam menangani krisis kewangan kepada dunia, China juga mengambil tindakan yang bersifat praktik untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan dengan Eropah. China telah menandatangani 38 persetujuan yang melibatkan dana lebih 15 bilion yuan RMB dengan EU, Switzerland, Jerman, Sepanyol dan Britain.
Selain itu, Naib Presiden Xi Jinping juga memulakan lawatan ke Mexico, Jamaica, Columbia, Venezuela, Brazil dan Malta pada 8 hingga 22 Februari ini. Memandangkan situasi kewangan antarabangsa yang agak kronik ini, Amerika Latin dan kawasan Caribbean kini, mempergiat usaha untuk memperkukuh kerjasama dengan China, dan akan bersama-sama menghadapi krisis kewangan ini. Pelbagai lapisan masyarakat di kedua-dua kawasan tersebut menganggap lawatan Xi Jinping kali ini merupakan satu peluang yang baik bagi kedua-dua pihak untuk meningkatkan pertukaran dan kerjasama.