Cari:
Taman Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Zambia-China, Hasil Kerjasama China-Afrika
2009-02-11 15:42:51 CRI Cetak
Memilih negara-negara Afrika menjadi destinasi lawatan pertama bagi Presiden China Hu Jintao pada awal tahun ini memperlihatkan keprihatinan China terhadap perkembangan hubungan dengan Afrika. Pada hakikatnya, selepas Sidang Kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika yang diadakan di Beijing pada bulan November tahun 2006, pola kerjasama yang dibentuk oleh kedua-dua pihak yang bersifat "saling menguntungkan"dan "maju bersama" telah mendapat perhatian yang agak besar daripada masyarakat antarabangsa.

Taman Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Zambia-China merupakan sebuah zon kerjasama yang pertama ditubuhkan oleh China di Afrika. Kini, taman itu berkembang menjadi zon kerjasama yang paling mantap di benua Afrika. Naib Pengurus Besar taman itu, Zan Baosen memaklumkan: "Sehingga penghujung tahun lalu, terdapat 10 buah syarikat yang melabur di taman kami, dan jumlah jualan mereka telah mencatat angka 190 juta dolar Amerika. Kontrak pelaburan yang ditandatangani bernilai 700 juta dolar Amerika. Seramai 3,500 penduduk tempatan juga telah mendapat kerja."

Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa taman kerjasama yang kini kelihatan dinamik itu, dulu hanyalah sebuah lombong tembaga tinggal yang dibeli oleh Syarikat Logam Bukan Ferus China Berhad (CNMC) melalui tender pada tahun 1998. Encik Zan menyatakan: "Untuk memudahkan kegiatan perdagangan antara China dengan Zambia, CNMC menyedari betapa perlunya menubuhkan taman industri, terutamanya bagi menjayakan pelaburan jangka panjang dalam sektor logam bukan ferus."

Dengan sokongan kerajaan kedua-dua negara, masa depan CNMC di Zambia menjadi semakin cerah. "Dalam Sidang Kemuncak Forum China-Afrika di Beijing, Presiden Hu Jintao telah mengumumkan 8 tindakan yang perlu diambil berkait dengan usaha meningkatkan kerjasama dengan Afrika. CNMC merupakan satu-satunya syarikat milik kerajaan pusat yang mendapat hak untuk melabur di Zambia melalui tender. Pada 4 Februari tahun 2007, Presiden Hu Jintao dan Presiden Zambia, Levy Mwanawasa telah menghadiri upacara pembukaan Taman Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Zambia-China."

Melalui perkembangannya selama 10 tahun, taman kerjasama ini telah menjadi peneraju dalam pasaran pelaburan Afrika. Kaunselor Ekonomi Kedutaan Besar China di Zambia, Wang You berpendapat bahawa taman itu memperlihatkan konsep China tentang pemberian bantuan kepada Afrika dengan matlamat saling menguntungkan dan maju bersama-sama. Kata beliau: "Disebabkan China menghadapi lebihan perdagangan yang agak tinggi pada tahun-tahun kebelakangan ini, maka penubuhan taman kerjasama ini amat bermanfaat bagi mewujudkan keseimbangan pendapatan dan perbelanjaan antarabangsa. Taman ini bukan sahaja menyediakan platform kepada syarikat kita untuk menembusi pasaran antarabangsa, malah juga mencipta peluang kerja dan menambah pungutan cukai di negara yang berkenaan."

Menteri Perdagangan China, Chen Deming yang pernah melawat Zambia pada bulan Januari yang lalu menyatakan bahawa kesedaran syarikat China yang melabur di Afrika terhadap tanggungjawab sosial makin meningkat, dan kegiatan pelaburan mereka makin dialu-alukan oleh rakyat Afrika.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China