Puzhai, di provinsi Guangxi yang terletak berhampiran dengan Vietnam merupakan salah satu pusat perdagangan di kawasan sempadan China-Vietnam. Di situ juga terletak pasar raya perabut kayu merah dan buah-buahan yang terbesar di rantau Asia. Perabot kayu merah terkenal sebagai perabot yang bermutu tinggi.
Huang Donghong, berusia 33 tahun, setiap hari membuka pintu kedai yang diusahakannya pada pukul 9 pagi. Kedainya berada di tepi jalan raya yang menghubungkan Zon Ekonomi Tan Thanh, Vietnam yang berhampiran dengan China. Jalan raya itu tidak pernah sunyi daripada deruman bunyi kenderaan kedua-dua negara yang berulang-alik mengangkut kargo dan pelancong. Huang Donghong berkata: "Pada masa dahulu, kebanyakan pelanggan saya ialah pelancong dari kawasan yang berhampiran. Sekarang, jumlah pelancong kian bertambah ramai selepas pembukaan lebuh raya. Ramai antaranya pelancong dari Beijing dan Shangha. Mereka suka membeli kraftangan yang diperbuat daripada kayu merah. Pelancong dari Nanning, ibu kota Guangxi pula berminat kepada produk tanam-tanaman dari Vietnam. Di kedai saya, 3, 4 set perabot kayu merah dijual dalam masa sebulan."
Demikian hasil yang dinikmati oleh seorang peniaga gigih setelah berusaha keras melalui saat-saat sukar dalam perniagaan.
Pada tahun 1996, Huang Donghong dan suaminya yang gagal dalam perniagaan mereka meninggalkan kampung halaman di Fujian berpindah ke Guangxi atas cadangan sahabat handai. Mereka mahu memulakan perniagaan di kawasan sempadan. Ketika mengenang masa-masa sukar dahulu, Huang Donghong memberitahu wartawan: "Pertama kali saya datang ke sini dengan menaiki kereta dari Nanning. Perjalanan itu mengambil masa empat jam setengah. Kereta sentiasa bergoyang-goyang kerana jalan yang tidak rata dan berliku-liku, menyebabkan saya sering mabuk kereta. Saya beritahu suami yang saya rasa senik dan tidak mahu datang lagi."
Tetapi, suami Huang Donghong mendapati terdapat peluang perniagaan di Puzhai yang berpotensi kerana kampung kecil itu dipilih sebagai salah satu pusat perdagangan di kawasan sempadan pada tahun 1992. Pada tahun 1996, walaupun Puzhai masih menghadapi masalah bekalan air dan elektrik, dan ekonomi yang lembap, namun perdagangan antara penduduk di kawasan sempadan kedua-dua negara semakin bertambah.
Oleh yang demikian, Huang Donghong dan suaminya memutuskan untuk membuka kedai pertama yang menjual masakan Vietnam di Puzhai. Suaminya pula berusaha mencari barangan dasar Vietnam yang sesuai dijual. Huang Donghong berkata, mengangkut barangan dari Vietnam merupakan satu perkara yang amat susah pada ketika itu. Katanya: "Pada masa itu, kebanyakan mereka mengangkut barangan dengan beca. Kadang-kadang mereka perlu memikul barangan ketika melalui kawasan yang berbukit-bukau. Tetapi sekarang, perkara itu semakin mudah kerana beca yang menggunakan tenaga elektrik.
Dengan usaha gigih beberapa tahun, pasangan suami isteri itu mencapai kejayaan dalam perniagaan mereka dan memperoleh keuntungan yang memuaskan. Mereka ingin memajukan perniagaan mereka dengan mengembangkan usaha niaga menerusi penjualan perabot kayu merah.
Kegiatan memproses kayu merah dijalankan di Puzhai sejak tahun 1995. Kayu merah diimport dari Vietnam. Pada akhir tahun 2002, hanya terdapat 14 buah syarikat yang membuat perabot kayu merah di Puzhai.
Putian, di Fujian iaitu kampung halaman suami isteri itu terkenal dengan teknik pembuatan perabot. Suami Huang Donghong dahulu bekerja sebagai tukang kayu dan mahir tentang pembuatan perabot. Memandangkan potensi pasaran yang besar, mereka memutuskan untuk mengusahakan dalam pembuatan perabot kayu merah pada tahun 2003. Berlainan dengan kebanyakan syarikat pembuatan perabot tempatan, mereka mengimport kayu merah dari Vietnam, Laos dan Kemboja, dan menghantarnya ke kampung halaman melalui kontena untuk dijadikan perabot. Perabot kayu merah yang siap, diangkut ke Puzhai untuk dijual. Katanya: "Tukang kayu di sini kurang mahir dan jumlahnya pun tidak ramai berbanding dengan tukang kayu di kampung halaman kami. Tukang kayu di kampung kami bersedia membuat perabot untuk kami jika mendapat upah yang memuaskan.
Teknik pembuatan yang unggul daripada Putian menjadikan perabot Huang Donghong mendapat pasaran yang baik.
Tepat seperti yang dijangkakan pasangan suami isteri itu, pasaran perabot kayu merah mengalami perkembangan yang amat pesat, lebih-lebih lagi selepas Ekspo China-ASEAN yang buat pertama kalinya diadakan di Nanning, Guangxi pada tahun 2004. Kini, terdapat sebanyak 60 buah syarikat pembuatan perabot kayu merah di Puzhai. Tempat itu juga dikenali sebagai pasar raya perabot kayu merah yang terbesar di rantau Asia Tenggara.
Kini, Huang Donghong sudah menjadi seorang pengusaha yang mahir dan berpengalaman dalam bidang perniagaan. Walau bagaimanapun, dia telah membeli banyak cakera padat yang menceritakan pengalaman kejayaan usahawan yang terkenal untuk menimba pengalaman daripada mereka dalam memajukan perniagaan.