Cari:
Chen Lei: China Perlu Laksanakan Sistem Pengurusan Sumber Air yang Paling Ketat
2009-02-16 16:04:55 CRI Cetak

Mesyuarat Sumber Air Kebangsaan China yang berlangsung selama dua hari telah berakhir di Bandar Guilin, barat daya China semalam. Menteri Sumber Air, Chen Lei dalam mesyuarat itu menyatakan bahawa China perlu melaksanakan sistem pengurusan sumber air yang paling ketat untuk menjamin pembangunan sosioekonomi secara berterusan.

Menurut Chen Lei, sejak dasar pintu terbuka dan pembaharuan dilaksanakan pada 30 tahun yang lalu, China telah mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi, iaitu kira-kira 10% purata setiap tahun. Jumlah penggunaan air juga turut meningkat. Kini, China menghadapi situasi yang serius dalam bidang sumber air ekoran perubahan iklim global dan pembangunan negara secara besar-besaran. Menurut statistik, jumlah kekurangan air di negara ini pada setiap tahun mencatat angka 40 bilion meter padu. Hampir 2/3 bandar di China mempunyai masalah kekurangan air, manakala, lebih 200 juta orang di desa menghadapi masalah air minuman yang tidak bersih. Selain itu, keluasan tanaman yang mengalami masalah kekurangan air pada setiap tahun mencatat angka 15 juta hektar.

"Memandangkan situasi yang serius dalam bidang sumber air ini, kita perlu menimbangkan penyelesaian masalah kekurangan air melalui penjimatan air, pengawalan aliran dan kualiti air serta perlindungan ekologi air di samping membangunkan negara. China perlu melaksanakan sistem pengurusan sumber air yang paling ketat bagi mencapai pembangunan sosioekonomi secara berterusan," katanya.

Chen Lei menegaskan bahawa China perlu mengawal jumlah penggunaan air dan pelepasan air kotor ke dalam sungai, serta mengelakkan daripada pembaziran air, sebagai langkah melaksanakan sistem pengurusan sumber air yang paling ketat.

Pegawai Kementerian Sumber Air, Encik Gao Erkun memaklumkan bahawa pihaknya sedang giat berusaha untuk mengawal jumlah pengambilan dan penggunaan air bagi mengelakkan daripada penerokaan sumber air yang menyeleweng.

"Pada tahun ini, kami akan meneliti rancangan tentang indeks pengawalan jumlah pengambilan air di 7 kawasan perairan utama, termasuk Sungai Yangtze, Sungai Kuning dan Sungai Zhujiang. Di samping itu, kami akan memulakan kerja menetapkan indeks pengawalan jumlah pengambilan air di kawasan pentadbiran peringkat provinsi, dan mewujudkan sistem indeks pengawalan yang berkenaan bagi pelbagai peringkat," kata Encik Gao Erkun.

Menteri Chen Lei menyatakan bahawa pihaknya akan melaksanakan kaedah penilaian yang ketat dalam memberikan permit pengambilan air. Selain itu, Kementerian Sumber Air akan meningkatkan lagi perancangan sumber air dan mengoptimumkan pembahagian sumber air di samping mempergunakan pendekatan pasaran untuk meningkatkan efesiensi yang berkenaan.

Untuk melindungi sumber air, Kementerian Sumber Air akan melaksanakan pengawasan dan pengawalan yang ketat terhadap pelepasan air kotor ke dalam sungai. Menteri Chen Lei menyatakan bahawa pihaknya akan berusaha supaya kualiti air di kawasan pembekalan air bandar-bandar utama seluruh negara memenuhi piawaian yang berkenaan menjelang tahun 2020, manakala, kualiti air bagi lebih 80% sungai dan tasik utama memenuhi piawaian berkenaan.

Untuk menjimatkan air, China juga meletakkan sasaran bahawa menjelang tahun 2020, jumlah penggunaan air bagi setiap 10 ribu yuan Renminbi KDNK dikurangkan sebanyak lebih 60% berbanding sekarang, iaitu di bawah 125 meter padu.

Ketika menyebut masalah air minuman yang tidak bersih di desa, Menteri Chen Lei berkata: "China akan menyelesaikan masalah air minuman yang tidak bersih di desa menjelang tahun 2013, dan mewujudkan sistem jaminan keselamatan air minuman menjelang tahun 2020."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China