Cari:
Menteri Luar China: Lawatan Presiden Hu Jintao ke Lima Negara Asia dan Afrika Capai Hasil yang Memuaskan
2009-02-18 16:17:43 CRI Cetak

Presiden China, Hu Jintao semalam mengakhiri lawatan rasminya ke Arab Saudi, Mali, Senegal, Tanzania dan Mauritius dengan mencapai hasil yang memuaskan. Menteri Luar, Yang Jiechi yang mengiringi Presiden Hu ke lima negara tersebut memberitahu pemberita, lawatan kali ini merupakan aktiviti diplomasi yang penting untuk meningkatkan hubungan China dengan negara-negara membangun yang lain.

Menurut Yang Jiechi, situasi politik dan ekonomi antarabangsa kini telah mengalami perubahan yang besar. Bahana krisis kewangan global terus menular. Kesan buruknya terhadap negara-negara membangun juga semakin jelas. Dengan adanya latar belakang ini, lawatan Presiden Hu telah mempererat lagi hubungan dan persahabatan antara China dengan negara-negara Asia dan Afrika.

Menurut Menteri Luar, jadual lawatan Hu Jintao kali ini amat padat. Beliau telah menyertai lebih 50 aktiviti dalam tempoh lawatan 7 hari, termasuk pertemuan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan serta tokoh-tokoh pelbagai kalangan masyarakat dari kelima-lima negara terbabit.

Dalam lawatan kali ini, pihak-pihak yang berkenaan telah mencapai persepakatan baru dalam bersama-sama menangani krisis kewangan antarabangsa. Presiden Hu telah membentangkan pandangan dan cadangan kerajaan China dalam menangani krisis tersebut, dan menyatakan kesediaan untuk meningkatkan kerjasama dan penyelarasan dengan negara-negara membangun yang lain. Beliau menyatakan sokongan terhadap hak bersuara negara-negara membangun dalam isu pembaharuan sistem kewangan antarabangsa. Beliau juga menyeru masyarakat antarabangsa supaya membantu negara-negara membangun, khasnya negara-negara Afrika untuk mengatasi krisis tersebut. Malahan, Presiden Hu berjanji akan melaksanakan langkah-langkah yang dicapai dalam Forum Kerjasama China-Afrika untuk membantu negara-negara Afrika, termasuk mengurangkan atau memansuhkan hutang mereka, meningkatkan perdagangan dan pelaburan terhadap Afrika. Pemimpin-pemimpin negara berkenaan menyambut baik pendirian China tersebut.

Presiden Hu telah mengadakan perbincangan yang mendalam dengan pemimpin-pemimpin dari kelima-lima negara yang terbabit tentang isu-isu kepentingan bersama, dan mencapai kata sepakat. Antara perkara yang dibincangkan termasuk meningkatkan hubungan dua hala dan persahabatan, melaksanakan langkah membantu Afrika yang dicapai dalam Forum Kerjasama China-Afrika, meningkatkan lagi hubungan strategik dan persahabatan China-Arab Saudi, dan menjalin hubungan rakan strategik baru China-Afrika.

Ketika melawat Tanzania, Presiden Hu membangkitkan cadangan enam perkara untuk meningkatkan hubungan China-Afrika dalam situasi terkini. Beliau berkata, rakyat China amat mengambil berat persahabatan dengan Afrika, dan memandang rakyat Afrika sebagai sahabat yang boleh dipercayai. Pihak China bersedia mendorong hubungan rakan strategik baru dengan negara-negara Afrika.

Dalam lawatan kali ini, China telah memeterai lebih 20 dokumen kerjasama dengan kelima-lima negara tersebut, yang melibatkan bidang ekonomi dan perdagangan, sumber tenaga, pemeriksaan kualiti, kesihatan, kebudayaan dan pembinaan infrastruktur. Pemeteraian dokumen-dokumen tersebut memperluas dan memperdalamkan kerjasama pragmatik antara China dengan negara-negara berkenaan.

Lawatan Presiden Hu kali ini mendapat sambutan meriah daripada rakyat kelima-lima negara. Ini menunjukkan persahabatan China-Arab Saudi dan China-Afrika tertanam dalam sanubari rakyat tempatan.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China