Cari:
Peniaga Vietnam yang Usahakan Penjualan Kopi di Puzhai
2009-02-25 11:01:17 CRI Cetak

Puzhai, di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China yang terletak berhampiran dengan Vietnam masih merupakan sebuah kampung kecil dengan beberapa belas keluarga mendiaminya pada tahun 1992. Namun, kini kampung kecil itu dahulu sudah dikenali sebagai salah satu pusat perdagangan yang paling besar di kawasan sempadan China-Vietnam.

Hoang Son, datang ke Puzhai pada tahun 2001 untuk menjalankan perniagaan di sana. Pada waktu itu, Puzhai telah mengalami perubahan yang besar dalam proses pembangunannya, terutama dalam usaha pembinaan infrastruktur. Walau bagaimanapun, pada peringkat amat sukar bagi Hoang Son untuk menggerakkan perniagaannya di Puzhai kerana penduduk tempatan tidak berapa mengenali kopi buatan Vietnam yang dijualnya. Kata Hoang Son: "Pada waktu itu, saya masih belum membuka kedai, dan amat susah untuk menjual kopi di sini kerana kebanyakan penduduk China tidak berminat akan minum kopi, sebaliknya mereka gemar minum teh. Bagi memperkenalkan kopi buatan Vietnam kepada orang ramai, saya menyediakan kopi untuk diminum secara percuma."

Vietnam merupakan salah sebuah negara pengeluar kopi yang utama di dunia. Kopi berjenama Trung Nguyen yang dijual oleh Hoang Son merupakan satu jenama kopi yang terkenal di Vietnam.

Pada tahun 2003, Kopi Trung Nguyen yang mempunyai rasa amat istimewa mendapat sambutan yang semakin baik di Puzhai, malah di beberapa tempat di sekitarnya. Selepas perasmian lebuh raya yang menghubungkan Nanning, ibu kota Guangxi dengan Youyiguan pada tahun 2005, Puzhai yang terletak berhampiran dengan Youyiguan juga menjadi satu destinasi pelancongan yang baru, dan mendapat kunjungan pelancong yang semakin ramai. Hal ini turut memajukan usaha perniagaan Hoang Son dalam menjual kopi. Katanya: "Kini, terdapat banyak kedai yang menjual kopi berjenama Trung Nguyen di sini. Sekarang, saya mengusahakan penjualan kopi secara borong di Puzhai. Biasanya, kopi yang saya borong dari Lang Son, Vietnam akan habis dijual dalam masa satu dua hari sahaja."

Kini, kopi Trung Nguyen sudah berjaya menembusi pasaran beberapa provinsi di kawasan pesisir pantai China. Bagi meneroka pasaran yang potensinya besar di China, Syarikat Kopi Trung Nguyen Vietnam memutuskan untuk menarik 1/5 jumlah jualannya daripada Eropah kepada China.

Dengan wujudnya perkhidmatan jaringan telefon mudah alih kedua-dua negara di Puzhai, usaha perniagaan Hoang Son menjadi lebih mudah dan kehidupannya semakin selesa. Sekarang, dengan satu panggilan telefon sahaja, kopi yang dipesan oleh Hoang Son dari Vietnam akan dihantar ke kedainya oleh syarikat pengangkutan profesional. Walau bagaimanapun, perkara yang paling memggembirakan Hoang Son dan isterinya ialah anak mereka mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Etnik Minoriti Guangxi di Nanning.

Kini, Hoang Son yang merasa ragu-ragu sewaktu baru datang ke China dahulu menjadi semakin optimis dan berkeyakinan. Menurut Hoang Son, keyakinannya itu terletak pada potensi besar pasaran China serta peraturan undang-undang China yang sempurna. Katanya: "Suasana perniagaan di China amat baik kerana terdapatnya sistem undang-undang yang sempurna, pelbagai dasar keutamaan dan kerajaan yang efisien. Dengan ini, amat mudah bagi peniaga asing untuk membuka kedai atau kilang mereka di sini."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China