Cari:
Penduduk Tibet Sambut Tahun Baru Kalender Tibet Dengan Meriah
2009-02-25 16:17:10 CRI Cetak

Hari ini merupakan hari tahun baru mengikut kalender Tibet, iaitu hari kebesaran yang disambut paling meriah oleh lebih 5 juta orang anggota masyarakat etnik tersebut di Tibet. Suasana di Lhasa, ibu kota wilayah itu amat meriah. Istana Potala dihias dengan kain sutera yang cantik. Di Lapangan Longwangtan yang berhampiran dengan istana tersebut, kumpulan opera Tibet mengadakan persembahan kesenian yang menarik.

Ketika menyambut tahun baru mengikut kalender mereka, penduduk Tibet akan menyediakan suatu bekas yang disebut "Chemar" untuk mengisi gandum dan rumbai barli Qingke. Puan Tsezhen dari Lhasa telah siap membuat "Chemar" tersebut untuk menyambut tahun baru. Katanya, "Orang etnik Tibet meletakkan 'Chemar' di rumah mereka untuk berdoa semoga hasil pertanian dan penternakan bertambah makmur, serta masyarakat hidup bahagia pada tahun yang baru."

"Chemar" besar yang berisi ukiran mentega yang berwarna-warni dan rumbai barli Qingke telah menghiasi beberapa lapangan di badar raya Lhasa. Selain itu, masyarakat etnik Tibet juga mengadakan aktiviti seperti menziarahi saudara mara dan sahabat, mengibarkan bendera yang tertulis kata-kata Buddha, dan bendera lebar panjang berwarna-warni di bukit untuk menyambut hari kebesaran itu.

Stesen TV Tibet telah menyiarkan malam gembira untuk menyambut tahun baru kelander Tibet ini malam semalam. Seniman dari Tibet dan pelbagai tempat di China telah menghidangkan persembahan yang sungguh menarik pada malam gembira itu.

Membeli barang merupakan aktiviti yang penting bagi masyarakat etnik Tibet untuk menyambut hari kebesaran itu. Dengan pertumbuhan ekonomi yang kian pesat, penduduk Tibet semakin mampu membeli pelbagai jenis barang. Pelbagai pasar raya di Lhasa penuh dengan pelanggan yang membeli barang-barang untuk menyambut tahun baru ini. Seorang penduduk bandar itu, Sonam Dradul berkata, "Jumlah pelanggan yang membeli barang di pasar raya pada hari ini meningkat lebih 10 kali ganda berbanding dengan hari biasa. Saya datang ke pasar raya ini untuk membeli buah-buahan."

Orang etnik Tibet yang bekerja di kawasan-kawasan lain telah pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan itu bersama-sama dengan anggota keluarga masing-masing. Seorang penduduk dari Lhasa, Tawang yang tinggal di bandar raya Kunming telah pulang ke kampung halamannya bersama-sama dengan anak lelaki dan menantunya. Katanya, "Kami baru sampai dari Kunming. Anak perempuan saya di Lhasa telah menyiapkan barang-barang yang diperlukan untuk perayaan ini. Lebih 10 orang anggota keluarga kami akan bersama-sama menyambut tahun baru kalender Tibet ini, pasti meriah."

Terdapat ramai pelancong dari dalam dan luar negara yang melawat Tibet pada masa ini untuk merasai suasana yang meriah ketika menyambut hari kebesaran itu. Pasangan dari A.S., Leo dan Abby yang sedang melawat Lhasa berkata, "Kami dari A.S. dan tinggal di bandar raya Shanghai. Kami telah membaca banyak buku tentang sejarah, budaya dan agama di Tibet. Kali ini, kami hendak melihat sendiri adat resam yang unik ketika menyambut tahun baru kalender Tibet ini."

Selain di Wilayah Autonomi Tibet, masyarakat etnik Tibet di wilayah-wilayah yang lain juga mengadakan pelbagai aktiviti dengan meriah untuk menyambut hari kebesaran ini. Masyarakat etnik Tibet di provinsi Qinghai mengadakan beberapa aktiviti seperti pertunjukan pakaian tradisional etnik Tibet, pertandingan menyanyi dan menari untuk menyambut tahun baru ini. Selain itu, penduduk etnik Tibet di provinsi Sichuan dan Yunnan juga mengibarkan sepanduk, tanglung dan membakar mercun untuk menyambut hari kebesaran ini.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China