Cari:
Rang "Undang-undang Keselamatan Makanan" Dibahaskan Sekali Lagi
2009-02-26 15:55:22 CRI Cetak

Rang "Undang-undang Keselamatan Makanan" dibahaskan dengan sekali lagi dalam mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China semalam. Ini merupakan kali ke-4 bagi rang tersebut dibahaskan dalam tempoh 3 tahun secara berturut-turut. Menurut Suruhanjaya Undang-undang NPC, rang undang-undang tersebut yang sudah banyak kali dibuat pindaan dan digubal berdasarkan cadangan masyarakat awam itu dijangka dapat diluluskan dalam mesyuarat NPC yang akan diadakan tidak berapa lama lagi. Menurut pakar undang-undang, pengemukaan "Undang-undang Keselamatan Makanan" itu akan membantu menyempurnakan sistem keselamatam makanan secara berterusan.

Berdasarkan rang "Undang-undang Keselamatan Makanan" tersebut, Dewan Negara akan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Makanan bagi membuat penyelarasan dan memberikan panduan kepada badan-badan yang berkenaan dalam usaha memastikan keselamatan makanan. Naib Ketua Pengarah Suruhanjaya Undang-undang NPC, Liu Xirong memaklumkan: "Jawatankuasa Keselamatan Makanan yang ditubuhkan oleh Dewan Negara ini merupakan badan peringkat tinggi yang bertugas memberikan panduan kepada usaha memastikan keselamatan makanan di seluruh negara."

Usaha menyempurnakan sistem keselamatan makanan merupakan perkara yang diharapkan oleh masyarakat, lebih-lebih lagi selepas berlakunya peristiwa berkait dengan susu tepung berjenama Sanlu. Prof. Wang Liming dari Universiti Renmin China merupakan seorang sarjana undang-undang yang terkenal di China. Beliau memberikan pandangan yang positif kepada cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Keselamatan Makanan tersebut. Kata beliau: "Badan tersebut perlu ditubuhkan bagi memberikan panduan dan menyelaraskan usaha memastikan keselamatan makanan. Saya yakin bahawa badan yang ditubuhkan itu akan berperanan dalam mendorong pembentukan sistem keselamatan makanan di China."

Usaha memantau proses pengeluaran makanan merupakan fokus dalam kerja pemindaan kali ini. Menurut fasal-fasal yang termaktub dalam rang undang-undang tersebut, syarikat pengeluar makanan perlu mematuhi piawaian dan peraturan kerajaan dalam menggunakan racun perosak dan bahan baja, dan membuat catatan tentang proses pengeluaran produk pertanian masing-masing. Naib Ketua Pengarah Suruhanjaya Undang-undang NPC, Liu Xirong berkata: "Rang undang-undang ini menegaskan pemantauan yang berkesan terhadap proses pengeluaran makanan, terutamanya dari aspek bahan mentahnya, dan menetapkan tanggungjawab badan-badan yang bertugas untuk memantau keselamatan produk pertanian.

Jika diluluskan, Undang-undang Keselamatan Makanan itu akan menggantikan Undang-undang Kebersihan Makanan yang sedia ada. Prof. Wang Liming berkata: "Undang-undang Keselamatan Makanan ini dapat membantu menyempurnakan lagi sistem pemantauan dan kawalan keselamatan makanan, dan melindungi kepentingan para pengguna dengan lebih berkesan. Pengemukaan undang-undang ini mempunyai erti yang amat penting dan tepat pada masanya."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China