Rancangan pembangunan ASEAN dengan tema "Piagam ASEAN untuk Rakyat ASEAN" akan dibincangkan oleh para pemimpin dari negara-negara ASEAN dalam sidang ini dengan tujuan mendapatkan persetujuan yang konkrit untuk melaksanakan Piagam ASEAN, dan memajukan proses integrasi ASEAN bersama-sama, serta membuka lembaran baru bagi merapatkan hubungan kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN. Selain itu, isu berkait dengan usaha meningkatkan kerjasama kewangan untuk menangani krisis kewangan sejagat juga akan dibincangkan oleh para pemimpin negara ASEAN ini.
ASEAN telah ditubuhkan di Bangkok Thailand pada 8 Ogos tahun 1967 yang lalu dengan 10 buah negara sebagai anggotanya, iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei Darussalam, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja. Piagam ASEAN pula telah ditandatangani dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-13 di Singapura pada bulan November tahun 2007 yang lalu. Piagam ini merupakan dokumen undang-undang pertama yang dilaksanakan oleh negara-negara anggota ASEAN sejak ia ditubuhkan, hinggalah kerjasama dan pembangunan ASEAN memasuki ke tahap yang baru.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 merupakan Sidang Kemuncak ASEAN pertama sejak Piagam ASEAN dikuatkuasakan pada bulan Disember tahun 2008. Sidang ini dijangka menjadi mercu tanda bagi mewujudkan integrasi ASEAN. Menurut Piagam ASEAN, komuniti ASEAN akan ditubuhkan sebelum tahun 2015. Ia terdiri daripada komuniti keselamatan politik, komuniti ekonomi dan komuniti sosiobudaya supaya negara anggota ASEAN bersama-sama menangani cabaran pada masa yang akan datang.
Selain isu integrasi ASEAN, usaha meningkatkan kerjasama ekonomi dan kewangan juga akan dibincangkan dalam sidang ini. Menangani situasi ekonomi sejagat dan serantau yang amat teruk sekarang ini secar abersama-sama juga merupakan salah satu agenda utama dalam sidang tersebut. Ekonomi negara-negara ASEAN seperti negara-engara lain di dunia sekarang dilanda oleh krisis kewangan sejagat, dan meningkatkan kerjasama ekonomi dan kewangan serantau merupakan permintaan dan hasrat bersama dari pelbagai negara. Para menteri dari negara-negara yang berkenaan telah mencapai kata sepakat untuk meningkatkan kerjasama dalam Sidang Khas Kewangan ASEAN dan China, Jepun dan Republik Korea yang diadakan di Phuket Thailand baru-baru ini. Mereka juga bersetuju terutamanya tentang jumlah rizab wang asing serantau ditingkatkan daripada 80 bilion dolar Amerika kepada 120 bilion dolar Amerika untuk meningkatkan kemampuan negara serantau menangani risiko kewangan. Isu tersebut dijangka akan terus dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ini. Selain itu, isu-isu berkait dengan bahan makanan, sumber tenaga, bencana alam serantau dan anti penyeludupan masuk pendatang asing juga akan dibincangkan oleh pemimpin-pemimpin tersebut.
Para pemimpin negara, menteri luar dan menteri ekonomi dari negara-negara yang berkenaan akan menghadiri sidang tersebut. Menteri-menteri kewangan dan ekonomi akan menandatangani banyak perjanjian kerjasama ekonomi dan perdagangan sepanjang sidang ini. Selain itu, Perjanjian Keselamatan Minyak ASEAN juga akan ditandatangani oleh mereka. Semua perjanjian tersebut juga merupakan dokumen undang-undang yang penting bagi proses integrasi ASEAN.