Sidang Kemuncak ASEAN Ke-14 yang bertema "Piagam ASEAN yang Dimiliki oleh Rakyat ASEAN" telah berakhir semalam di Hua Hin, Thailand. Sidang kemuncak itu memberi tumpuan kepada isu integrasi ASEAN dan kerjasama dalam menangani krisis kewangan global. Sidang kemuncak kali ini dianggap mempunyai erti yang amat penting kerana pertama kali diadakan selepas berkuatkuasanya "Piagam ASEAN" pada bulan Disember tahun 2008. Dalam mesyuarat yang berlangsung selama 3 jam semalam, pemimpin-pemimpin dari 10 buah negara anggota dan Setiausaha Agung ASEAN telah mengadakan perbincangan tentang pelbagai isu. Ini termasuk proses integrasi ASEAN, situasi ekonomi global dan serantau, keselamatan bahan makanan dan sumber tenaga serta isu-isu yang berkait dengan hak asasi manusia. Dalam mesyuarat itu, para pemimpin tersebut telah menandatangani "Perisytiharan Peta Garisan Komuniti ASEAN 2009-2015", sekali gus menetapkan usaha-usaha bagi menjayakan pembangunan Komuniti ASEAN menjelang tahun 2015. Para pemimpin berkenaan meluahkan hasrat bagi mendorong Komuniti ASEAN, terutamanya dalam bidang ekonomi. Perdana Menteri Thailand yang merupakan pengerusi bergilir ASEAN, Abhisit Vejjajiva dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu berkata: "Kami mengikat janji dan berhasrat untuk mendorong integrasi di rantau ASEAN. Usaha-usaha seperti menandatangani perjanjian, mempergiat kerjasama, meningkatkan pelaburan terhadap pembinaan kemudahan awam dan bertindak merangsang pertumbuhan ekonomi berfaedah bagi mempercepat proses integrasi ASEAN."
Di samping itu, pemimpin negara-negara berkenaan juga mencapai kata sepakat mengenai kerjasama menangani krisis kewangan dan menegaskan pendirian mereka yang menentang tindakan perlindungan perdagangan. Abhisit Vejjajiva berkata: "Negara-negara anggota ASEAN tetap mengesyorkan perdagangan secara bebas. Kami akan5n tindakan perlindungan perdagangan dengan sedapat mungkin kerana jika sebuah negara yang melakukan tindakan tersebut, negara-negara lain juga akan mengambil tindakan yang serupa. Hal ini akan menyebabkan kerugian kepada semua pihak. ."
Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan dalam sidang akhbar yang itu menegaskan bahawa negara-negara anggota ASEAN mempertahankan dasar satu China, dan berpendapat pemulihan hubungan antara Tanah Besar China dengan Taiwan berfaedah bagi merancakkan kerjasama ekonomi antara ASEAN dengan China. Kata beliau: "Semua negara anggota ASEAN mempertahankan dasar satu China. Kini perkembangan hubungan antara Tanah Besar dengan Taiwan sedang menuju ke arah yang positif. Pemimpin kedua-dua pihak mempunyai hasrat yang sama bagi memperbaiki hubungan. Perkembangan hubungan Tanah Besar China dan Taiwan akan membantu menyelesaikan perselisihan dan memberikan manfaat kepada negara-negara serantau."