Akademi Sains Indonesia baru-baru ini mengeluarkan laporan yang menganggarkan kadar pengangguran negara itu akan mencatat 9% pada tahun 2009 akibat dilanda krisis kewangan global. Sehubungan dengan itu, kerajaan Indonesia merancang untuk melaksanakan pelbagai pendekatan bagi menyediakan lebih banyak peluang kerja dan mengelakkan pembuangan kakitangan syarikat.
Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati berkata pada awal bulan ini bahawa jumlah eksport negara itu telah menurun berikutan ekonomi negara-negara yang menjadi rakan dagang utama bagi Indonesia menghadapi kelembapan pada masa ini. Selain itu, pertumbuhan pelaburan asing di Indonesia menjadi perlahan akibat persaingan sengit antara negara dalam usaha menarik pelaburan asing. Hal-hal itu dianggap sebagai faktor utama yang menyebabkan peluang kerja yang ditawarkan di Indonesia semakin berkurangan.
Bagi menurunkan kadar pengangguran yang semakin meningkat, kerajaan Indonesia memutuskan untuk mempergiat usaha pembinaan infrastruktur yang mampu menawarkan peluang kerja dalam jumlah yang besar. Menurut rancangan, kerajaan negara itu akan mengagihkan dana sebanyak 10,200 bilion Rupiah, iaitu kira-kira 850 juta dolar Amerika daripada rancangan merangsang ekonomi yang bernilai hampir 6 bilion dolar Amerika kepada usaha pembinaan infrastruktur.
Menurut pegawai kanan Kementerian Penyelarasan Ekonomi yang bertanggungjawab terhadap usaha pembinaan infrastruktur, dana tersebut akan digunakan untuk mengadakan beberapa projek pembinaan infrastruktur yang mampu menawarkan sejuta peluang kerja secara langsung. Selain itu, seramai kira-kira 900 ribu orang penganggur akan mendapat kerja semula daripada pelaksanaan projek-projek tersebut.
Satu lagi langkah bagi menurunkan kadar pengangguran oleh kerajaan Indonesia ialah memperuntukkan dana kira-kira 117 juta dolar Amerika bagi mengurangkan perbelanjaan kepada penggunaan tenaga elektrik industri dan menerajui pembangunan ekonomi negara itu.
Menteri Tenaga Manusia dan Imigransi Indonesia, Erman Soeparno baru-baru ini berkata, kerajaan negara itu juga akan berusaha menurunkan kadar pengangguran melalui langkah-langkah pembaharuan terhadap usaha pendidikan. Menurut beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam usaha membuka lebih banyak sekolah vokasional dan merancakkan pengambilan tenaga kerja.
Beberapa dewan perniagaan dan kalangan perusahaan negara itu turut mengambil tindakan bagi menyediakan lebih banyak peluang kerja. Dewan Industri dan Perniagaan Indonesia mencadangkan pembangunan industri mencetus idea bagi mengadakan peluang kerja dan akan mengemukakan rancangan konkrit yang berkaitan dengannya. Pihaknya juga menyeru supaya tahun 2009 ditetapkan sebagai "tahun penciptaan idea".
Di samping itu, sesetengah perusahaan besar Indonesia berjanji sedapat mungkin untuk mengelakkan pembuangan kakitangan. Naib Ketua Pengurus Syarikat Motosikal Astra Honda berkata mereka tidak akan mengurangkan jumlah kakitangan secara besar-besaran sekiranya jumlah jualan motosikal mereka di pasaran domestik tidak mengalami penurunan yang besar dan mencapai sasaran jualan, iaitu sebanyak 2.1 juta. Sekiranya sasaran jualan mereka itu gagal dicapai, syarikat itu akan memastikan pengurangan kakitangan ialah pada kadar 5%.
Sebuah syarikat petroleum milik negara pula menyatakan bahawa pihaknya telah meningkatkan dengan besar jumlah pelaburan pada tahun ini bagi memajukan usaha dalam aspek carigali, pemprosesan minyak mentah dan penerokaan pasaran. Usaha-usaha mereka itu dijangka akan menawarkan beribu-ribu peluang kerja.