Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) sebagai badan berkuasa tertinggi negara China memikul lebih banyak tanggungjawab untuk meningkatkan jaminan dan kualiti hidup rakyat dalam situasi krisis kewangan global yang terus merebak, dan pertumbuhan ekonomi China yang menghadapi cabaran baru.
Ketua Pejabat Kajian Bilangan Penduduk dan Ekonomi Kerja Akademi Sains Sosial China yang juga wakil NPC, Encik Cai Fang menyatakan bahawa sama ada China dapat meluaskan penggunaan dalaman dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan pesat dan stabil atau tidak bergantung kepada usaha mengatasi masalah hidup yang melibatkan perubatan, kehidupan pesara, perumahan dan pendidikan.
Beliau berkata:"Rakyat sekarang tidak menggunakan wang, sebaliknya menyimpannya dalam bank. Mereka perlu menyimpan wang untuk kehidupan selepas bersara, biaya perubatan ketika sakit, atau ketika menganggur, dan untuk persekolahan anak mereka. Sehubungan dengan itu, sekiranya kerajaan menambah peruntukan modal untuk meningkatkan jumlah rakyat yang mendapat faedah jaminan sosial, penggunaan dalaman dijangka dapat dirangsang."
Menurut laporan kerja kerajaan pusat yang dibentangkan oleh Perdana Menteri China, Wen Jiabao, walaupun pertumbuhan ekonomi China menerima pengaruh negatif daripada krisis kewangan global ini, namun belanjawan untuk jaminan sosial dan program meningkatkan taraf hidup rakyat tidak dikurangkan, sebaliknya bertambah.
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, China berusaha meneroka mekanisme baru bagi bidang perubatan. Untuk mengurangkan beban perubatan bagi penduduk, China akan membekalkan sebanyak 850 bilion yuan RMB untuk mendorong pembaharuan mekanisme perubatan pusingan baru dalam tempoh tiga tahun yang akan datang supaya rakyat dapat menikmati perkhidmatan perubatan yang selamat, berkesan dan murah.
Beliau berkata:"China akan terus meningkatkan pembinaan mekanisme jaminan perubatan asas. Penduduk di bandar dan di desa akan dimasukkan ke dalam sistem insurans perubatan asas pekerja bandar, sistem insurans perubatan asas penduduk bandar dan sistem perubatan kerjasama desa yang baru."
Selain itu, modal yang besar jumlahnya ini juga akan digunakan untuk menyempurnakan sistem perkhidmatan kesihatan asas, perkhidmatan kesihatan awam percuma dan pembaharuan hospital milik kerajaan yang dilancarkan sebagai percubaan.
Para perwakilan dalam NPC ini telah mengeluarkan pelbagai cadangan yang berkait dengan isu ini. Naib Ketua Jabatan Kesihatan provinsi Gansu yang juga wakil NPC, Guo Yufen menyatakan bahawa perbelanjaan negara perlu memberikan keutamaan kepada kawasan yang mundur dalam proses pembaharuan sistem perubatan.
Beliau berkata:"Terdapat dua masalah, iaitu kekurangan kemudahan dan tenaga pakar perubatan di kawasan barat. Memandangkan situasi ini, saya berpendapat bekalan modal negara perlu lebih mengutamakan kawasan barat."
Sementara itu, ketua pengarah jabatan sakit tulang Hospital Ketiga Universiti Peking yang juga wakil NPC, Liu Zhongjun menyatakan bahawa tenaga perubatan yang mahir kebanyakannya terdapat di hospital besar, maka pembinaan kemudahan dan pendidikan tenaga manusia perlu ditingkatkan di hospital kecil dan sederhana.
Kini, jumlah warga tua yang berumur lebih 60 tahun mencapai 153 juta orang di China dan 70% daripada jumlah tersebut bertumpu di desa. Pada tahun 1986, China telah melaksanakan sistem insurans masa tua asas bagi pesara di bandar dan meningkatkan wang pencen selama empat tahun secara berterusan. Kini, beberapa tempat di China sudah memulakan usaha sebagai menubuhkan sistem persaraan yang baru di desa. Dana bagi melaksanakan sistem tersebut diperoleh melalui pembayaran yang dibuat oleh individu, pihak majikan dan kerajaan.