Sidang Kemuncak ASEAN Ke-14 berakhir di Hua Hin Thailand pada 1 Mac lalu. Para penganalisis berpendapat bahawa sidang kemuncak kali ini memainkan peranan dalam mendorong pelaksanaan Piagam ASEAN, mempercepat proses integrasi ASEAN dan meningkatkan kerjasama negara anggota dalam menangani krisis kewangan global.
Sidang kemuncak ASEAN kali ini mempunyai erti yang penting kerana pertama kali diadakan selepas berkuatkuasanya "Piagam ASEAN" pada bulan Disember tahun 2008. Ia juga mengadakan perbincangan tentang beberapa isu yang penting seperti pembangunan komuniti dalam rangka Piagam ASEAN. Pemimpin negara-negara berkenaan telah menegaskan sekali lagi pembangunan komuniti ASEAN yang meliputi bidang keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya menjelang tahun 2015 serta menandatangani "Perisytiharan Peta Garisan Komuniti ASEAN 2009-2015."
Ketua Jabatan Asia-Pasifik Institut Pengkajian Hal-Ehwal Antarabangsa China, Shen Shishun berkata, Sidang Kemuncak ASEAN kali ini menetapkan langkah-langkah bagi menjayakan proses integrasi dan berfaedah meningkatkan prestasi ASEAN dalam kerjasama di rantau Asia-Pasifik.
Pakar-pakar berkenaan berpendapat bahawa negara-negara ASEAN kini mempergiat kerjasama antara satu sama lain dan dengan beberapa negara serantau yang lain. Hal ini akan membantu meningkatkan kemampuan rantau ASEAN dalam menghadapi cabaran global dan mendorong proses integrasi Asia Timur yang berasaskan ASEAN.
Menurut Shen Shishun, kini ekonomi dunia sedang mengalami kemerosotan akibat krisis kewangan. Hal ini tentu akan memberikan kesan negatif kepada negara-negara ASEAN yang pertumbuhan ekonominya bergantung kepada usaha eksport. Usaha sebuah negara dan tindakan perlindungan perdagangan tidak mampu menangani krisis kewangan, sebaliknya memerlukan tindakan bersepadu yang diambil oleh semua negara anggota dan pembangunan komuniti ASEAN. ASEAN telah menjalin hubungan yang erat dengan A.S. dan juga berusaha mengeratkan lagi hubungannya dengan negara-negara Eropah. Ketika beberapa negara Eropah dan A.S. mengambil tindakan perlindungan perdagangan baru-baru ini, usaha mempercepat proses integrasi dan menegaskan perdagangan secara bebas dianggap sebagai langkah-langkah yang bijak bagi ASEAN untuk menghadapi krisis kewangan.
Menurut laporan, ekonomi ASEAN lebih bergantung kepada eksport dan tahapnya mencatat dua kali ganda berbanding rantau yang lain. Kemerosotan ekonomi dunia telah memberikan kesan yang buruk kepada ekonomi ASEAN. Menurut statistik, kadar pertumbuhan ekonomi Indonesia pada suku tahun yang lalu mencatat angka paling rendah dalam tempoh dua tahun lalu. Singapura mengalami kemerosotan yang paling teruk dalam sejarah. Ekonomi Thailand pula dijangka mengalami kemerosotan buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun lalu. Kadar pertumbuhan Malaysia pada suku tahun yang lalu pula mencatat angka paling rendah dalam tempoh 7 tahun lalu.
Bagi mengelakkan munculnya gejala perlindungan perdagangan, para pemimpin negara ASEAN dalam sidang kemuncak kali ini berjanji untuk memastikan perdagangan barangan, perkhidmatan serta kegiatan pelaburan secara bebas, dan bersetuju bersama-sama menghalang kegiatan perlindungan perdagangan.