Cari:
Memastikan Keselamatan Makanan Memerlukan Usaha Berbilang Sektor
2009-03-12 16:02:34 CRI Cetak
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, kes makanan tercemar yang sering berlaku di China telah menarik perhatian pelbagai kalangan masyarakat. Misalnya kes susu tepung "Sanlu" yang didapati tercemar tidak lama dulu, bukan sahaja menjejaskan kualiti kehidupan penduduk, malah merosakkan imej produk China di arena global.

Banyak isu yang menyebabkan timbulnya masalah keselamatan makanan, antaranya termasuklah undang-undang berkenaan yang kurang sempurna dan pemantauan tidak dijalankan dengan baik oleh pihak kerajaan, syarikat makanan dan para pedagang yang tidak mematuhi piawaian keselamatan dengan ketat serta isu-isu di luar negeri yang tidak menentu. China amat sedar akan kesan buruk yang ditimbulkan oleh masalah makanan yang tidak selamat ini dan sedang mengambil pelbagai langkah yang berkesan untuk menangani isu keselamatan makanan.

Menyusun dan mengemas kini piawaian keselamatan makanan dan meningkatkan pemantauan melalui perundangan terhadap proses pengeluaran dan pengedaran makanan menjadi misi penting bagi China untuk memastikan keselamatan makanan. Baru-baru ini, Undang-undang Keselamatan Makanan diumumkan akan berkuatkuasa pada 1 Jun nanti selepas dibahaskan oleh NPC berulang kali. Undang-undang ini merupakan dokumen perundangan pertama dalam sejarah China untuk mengemaskan rangkaian makanan termasuk pengeluaran, pemprosesan dan pengedaran. Berbanding dengan Undang-undang Kebersihan Makanan yang sedia ada, undang-undang yang baru ini lebih menegaskan kawalan dan hukuman terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas kes pencemaran.

Bagaimanapun, memastikan keselamatan makanan dengan hanya bergantung pada undang-undang jauh daripada mencukupi, malah ia memerlukan usaha daripada pelbagai sektor.

China masih merupakan sebuah negara membangun dan ekonominya berkembang pesat, manakala sistem ekonomi pasar sosialismenya sedang dibangunkan dan disempurnakan. Dalam proses pembangunan ini, ada pengusaha yang mengeluarkan dan menjual makanan yang bermutu rendah, malah makanan yang tercemar semata-mata untuk mengejar keuntungan secara maksimum. Untuk mengelakkan gejala tersebut berulang lagi, pengusaha makanan diharapkan supaya meningkatkan kawalan langsung secara sendiri dan mempunyai tanggungjawab serta kewajiban moral, di samping kerajaan meningkatkan kawalan, pemantauan dan hukuman melalui penguatkuasaan undang-undang.

Menurut pakar yang berkenaan, satu isu penting yang menyebabkan masalah makanan tidak selamat sering berlaku di China adalah jumlah pengeluar dan pemproses makanan yang terlalu banyak di China dan kedudukan mereka di tempat yang berbeza-beza, sehingga kawalan dan pemantauan terhadap mereka sukar dijalankan. Menurut maklumatnya, China mempunyai lebih 200 juta keluarga petani yang menternak ayam, itik, ikan dan ternakan lain serta menanam sayur-sayuran dan buah-buahan. Pada masa yang sama, terdapat lebih 500 ribu buah syarikat yang menjalankan usaha pengeluaran dan pemprosesan makanan di seluruh negeri. Sistem pengeluaran makanan yang begitu besar menyebabkan kawalan dan pemantauan terhadap bahagian-bahagian rangkaian pengeluaran makanan tersebut tidak dapat dijalankan dengan berkesan. Pada masa yang sama, kebanyakan petani dan penggembala tidak pernah menerima pendidikan pada tahap tinggi hinggakan mereka tidak mampu menguasai teknik pengeluaran yang moden.

Maka, jika dipandang lebih jauh, memastikan keselamatan makanan di China memerlukan usaha dalam aspek penetapan kaedah mengawal pengeluaran, skop kilang dan menyelenggarakan latihan profesional bagi membantu tenaga kerja menguasai teknologi tinggi.

Seiring dengan perkembangan globalisasi ekonomi dan perdagangan luar China, isu yang melibatkan keselamatan makanan bukan hanya terhad di dalam negara tersebut sahaja. Bahagian-bahagia dalam rangkaian pengeluaran makanan amatlah banyak; ada yang dijalankan di dalam negeri, ada juga yang di luar negeri. Ini semua mungkin menjadi punca kepada kes yang melibatkan keselamatan makanan. Sebab itulah, untuk memastikan keselamatan makanan, kerjasama antarabangsa juga perlu ditingkatkan.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China