Cari:
Wen Jiabao: China Mempunyai Keyakinan Tangani Krisis Kewangan Antarabangsa
2009-03-13 17:31:00 CRI Cetak
Sidang pleno ke-2 Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) ke-11 ditutup di Beijing pagi tadi. Laporan kerja kerajaan yang disampaikan oleh Perdana Menteri Wen Jiabao dan pakej kerajaan China untuk menangani krisis kewangan antarabangsa diluluskan dalam sidang tahunan NPC kali ini. Dalam sidang akhbar yang diadakan selepas penutupan sidang tersebut, wartawan dari dalam dan luar China telah mengemukakan sebanyak 23 soalan bertumpu Perdana Menteri Wen Jiabao, antaranya lebih 70% soalan menumpukan kepada dasar dalam dan luar negara yang diambil oleh kerajaan China untuk menangani krisis kewangan sejagat sekarang. Sehubungan dengan pakej rangsangan ekonomi yang bernilai 4 trilion yuan RMB, Wen Jiabao berkata:

"Rancangan pakej ini mengandungi empat perkara, iaitu peruntukan kerajaan yang disediakan secara besar-besaran, penyusunan semula dan pembangunan industri dalam skala yang besar, sokongan sains dan teknologi, dan peningkatan jaminan sosial. Peruntukan kerajaan merupakan tindakan yang paling langsung dan berkesan. Dalam peruntukan sebanyak 4 trilion yuan itu, terdapat pelaburan langsung kerajaan yang baru ditambah, iaitu bernilai 1.18 trilion yuan RMB dan terdapat juga pelaburan swasta."

Menurut beliau, pelaburan langsung kerajaan yang bernilai 1.18 trilion tersebut khususnya akan digunakan untuk menjaga projek yang melibatkan kebajikan rakyat, meningkatkan tahap teknologi, melindungi ekologi alam dan membina infrastruktur. Selain itu, kerajaan turut mengambil pelbagai langkah lain termasuk mengurangkan cukai, menyediakan peluang kerja sebanyak mungkin, dan menyempurnakan sistem jaminan sosial.

Berdepan dengan krisis kewangan sejagat yang terus merebak, kerajaan China terus menetapkan sasaran kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China pada angka 8% tahun ini. Ini menarik perhatian umum. Ketika menjawab soalan wartawan tentang perkara ini, Wen Jiabao mengakui bahawa, walaupun bukan mudah untuk merealisasikan sasaran ini, tetapi China akan berusaha untuk mencapainya. Menurut beliau, China mempunyai kelebihan dari aspek tenaga kerja dan modal insan. Pasaran kewangan negara ini kekal sihat dan mantap menerusi pembaharuan selama lebih 10 tahun. Kesemua faktor tersebut menyediakan sokongan yang kukuh bagi pertumbuhan ekonomi.

Tentang Sidang Kemuncak Kewangan G20 yang akan diadakan di London, Wen Jiabao menyatakan bahawa negara membangun tidak boleh dilupakan dalam usaha menangani krisis kewangan sejagat sekarang ini. Katanya:

"Dalam usaha mengatasi krisis kewangan sejagat, negara membangun selalu diketepikan. Maka, memberikan perhatian dan membantu negara membangun terutamanya negara-negara paling kurang membangun patut dijadikan agenda utama dalam Sidang Kemuncak Kewangan G20."

Selain daripada tindakan yang diambil oleh China untuk mengatasi krisis kewangan, dialog antara kerajaan pusat China dengan Dalai sama ada akan diadakan lagi atau tidak, juga amat menarik perhatian wartawan. Wen Jiabao berkata:

"Dalai bukan seorang tokoh agama, malah seorang buangan politik. 'Kerajaan buangan' yang ditubuhkannya sebenarnya ialah 'kerajaan haram' yang didalanginya dengan menggabungkan politik dengan agama."

Baru-baru ini, Dalai menafikan bahawa dia pernah menuntut kerajaan China supaya mengundurkan tentera dari Tibet dan meminta penduduk etnik han juga keluar dari sana. Sehubungan perkara ini, Wen Jiabao berkata:

"Saudara sekelian boleh membaca 'Rancangan Damai 5 Perkara Tibet' yang dikeluarkan oleh Dalai di A.S. pada tahun 1987, dan 'cadangan tambahan 7 perkara' yang dikeluarkannya di Strasbourg, Perancis pada tahun 1988. Dalam kedua-dua dokumen ini, Dalai menuntut kerajaan China suapaya mengundurkan tentera dan kemudahan ketenteraan dari Tibet dan penduduk bukan etnik Tibet meninggalkan Tibet."

Wen Jiabao menegaskan bahawa Tibet merupakan sebahagian wilayah yang tidak boleh dipisahkan dari China. Isu Tibet sama sekali adalah urusan dalaman China semata-mata. Maka negara lain tidak boleh mencampuri hal tersebut. Beliau berjanji, jika Dalai Lama menghentikan kegiatannya untuk memecahbelahkan negara, kerajaan China akan mengadakan dialog dengan wakilnya.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China