Cari:
Duta Besar China ke Singapura: China dan ASEAN Perlu Bekerjasama dalam Menangani Krisis Kewangan
2009-03-18 11:46:28 CRI Cetak

Duta Besar China ke Singapura, Puan Zhang Xiaokang berkata China dan negara-negara anggota ASEAN perlu membuat dasar berdasarkan keadaan negara masing-masing bagi menangani krisis kewangan di samping mempergiat kerjasama dan perpaduan antara satu sama lain. Semasa diwawancara oleh wartawan Agensi Berita Xinhua baru-baru ini, beliau berkata, sejarah perkembangan hubungan China-ASEAN menunjukkan bahawa kedua-dua pihak saling bergantung dalam usaha pembangunan. Pembangunan China dicapai berdasarkan kestabilan dan kemakmuran ASEAN. Serentak dengan itu, pembangunan China turut memberikan manfaat kepada negara-negara ASEAN.

Kini, mempergiat kerjasama antara China dengan negara anggota ASEAN dianggap mempunyai erti yang amat penting bagi menangani krisis kewangan, terutamanya kerjasama dalam penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas, pembinaan kemudahan infrastruktur dan kerjasama di peringkat subkawasan.

Bagi menangani kesan krisis kewangan itu, kedua-dua pihak perlu meningkatkan tahap pembukaan pasaran antara satu sama lain; berusaha merancakkan perdagangan dan pelaburan dua hala dan bertindak menghalang kegiatan perlindungan perdagangan. Mereka juga perlu berusaha mengembangkan pasaran bon, memelihara kestabilan kewangan di kawasan serantau dan merangsang pertumbuhan ekonomi di rantau Asia Timur.

Menurut beliau, rangka "10+1" merupakan mekanisme kerjasama yang penting antara China dengan ASEAN, manakala rangka "10+3" pula dianggap sebagai saluran utama bagi mempergiat kerjasama di rantau Asia Timur. China bersedia berusaha bersama-sama ASEAN dalam memperdalam kedua-dua mekansime kerjasama tersebut. Ia juga berhasrat untuk mempergiat kerjasama dengan ASEAN dalam rangka Sidang Kemuncak Asia Timur, OPEC dan Kumpulan 20 agar memberi sumbangan kepada kestabilan dan pembangunan serantau, malah seluruh dunia.

Duta Besar itu berkata, walaupun China dan ASEAN menjalinkan hubungan agak lambat, namun hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak berkembang secara pesat, dan kini sudah meliputi bidang-bidang yang luas. Selepas terjalinnya hubungan rakan dialog China-ASEAN secara menyeluruh pada tahun 1996, kedua-dua pihak telah melakukan kerjasama secara meluas lagi mendalam di samping berusaha meningkatkan kepercayaan politik dan memupuk persahabatan rakyat antara satu sama lain.

Puan Zhang Xiaokang berkata, prinsip sama rata dan saling menguntungkan merupakan asas yang kukuh bagi perkembangan hubungan China-ASEAN. China dan negara-negara ASEAN saling menyokong dan menghormati kepentingan teras dalam isu politik, dan mengekalkan penyelarasan dan kerjasama yang rapat dalam menangani urusan antarabangsa. Dalam bidang ekonomi pula, jumlah perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua pihak mengekalkan pertumbuhan yang pesat beberapa tahun lalu, dan mencatat 202.5 bilion dolar Amerika pada tahun 2007. Ini sekali gus mencapai matlamat perdagangan yang disasarkan dengan tiga tahun lebih awal, iaitu mencecah angka 200 bilion dolar Amerika. Selain itu, China dan negara-negara anggota ASEAN mencapai kata sepakat tentang isu pertukaran mata wang berdasarkan "Anjuran Chiang Mai" yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Ketika menyebut usaha China dalam mendorong perkembangan hubungan dengan ASEAN, duta besar itu berkata bahawa memperkukuh dan mengembangkan hubungan rakan strategik dengan ASEAN yang menuju arah damai dan makmur merupakan dasar luar yang tetap dipertahankan oleh kerajaan China. Kerajaan China telah melakukan usaha yang gigih dalam memupuk kepercayaan politik dan merancakkan saluran interaksi di pelbagai peringkat antara kedua-dua pihak; memberi sokongan kepada usaha pembinaan komuniti ASEAN, dan mengeyorkan supaya ASEAN memainkan peranan utama dalam kerjasama serantau.

Puan Zhang Xiaokang berpendapat penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN dan perjanjian pelaburan yang ditandatangani akan membawa hubungan kerjasama China-ASEAN ke tahap yang lebih tinggi.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China