Akhbar Chinesebiznews yang diterbitkan di Los Angeles, Amerika Syarikat (A.S.) pada 21 Mac lalu menyiarkan rencana pengarang yang bertajuk: "Sejarah Hitam Sistem Perhambaan di Tibet tidak Boleh Berulang Lagi". Rencana tersebut membantah tindakan Dewan Perwakilan A.S. yang meluluskan usul anti-China yang berkaitan dengan isu Tibet baru-baru ini, dan mengkritik tokoh-tokoh politik di A.S. dan Eropah yang mengagung-agungkan sistem perhambaan di Tibet pada masa dahulu.
Menurut rencana itu, sesetengah tokoh politik di A.S. dan Eropah hanya mendengar cerita sebelah pihak, iaitu daripada Dalai Lama, dan membayangkan Tibet 50 tahun lalu sebagai syurga dunia. Namun, sebenarnya, selepas sistem perhambaan dihapuskan, penduduk Tibet menikmati kebebasan sepenuhnya dalam masyarakat dan beragama.
Kini, Tibet sedang mengalami pembangunan yang pesat dan semakin makmur. Sistem perhambaan merupakan sejarah yang paling hitam bagi Tibet. Rakyat China, termasuk penduduk Tibet tidak akan biarkan sejarah itu berulang lagi.
Rencana itu menyebut, Kongres Rakyat Wilayah Autonomi Tibet pada 19 Januari lalu memutuskan untuk menetapkan 28 Mac setiap tahun sebagai hari peringatan pembebasan jutaan hamba petani Tibet. Hari tersebut merupakan perayaan yang meriah bagi memperingati saat-saat penduduk Tibet menjadi individu yang bebas.