Wilayah Autonomi Zhuang, Guangxi akan berusaha menjayakan Ekspo China-ASEAN pada tahun ini bagi merancakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan kedua-dua pihak yang kini menghadapi cabaran akibat krisis kewangan global. Naib Pengerusi Wilayah Autonomi tersebut, yang bertanggungjawab ke atas usaha pembangunan Zon Ekonomi Teluk Beibu, Encik Chen Wu berkata demikian dalam temu bual dengan wartawan CRI di Beijing baru-baru ini.
Ekspo China-ASEAN yang sudah lima kali dianjurkan dengan jayanya sebelum ini menyediakan platform untuk kerjasama kedua-dua pihak dalam bidang ekonomi dan penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN. Kini, krisis kewangan yang sedang merebak ke seluruh dunia menyebabkan ekonomi dunia merosot dan memberikan kesan negatif terhadap kegiatan perdagangan antara China dengan negara-negara anggota ASEAN. Encik Chen Wu berkata, walaupun krisis kewangan membawa cabaran baru kepada Ekspo China-ASEAN, namun pihaknya tetap berkeyakinan bagi menjayakan penganjuran ekspo itu pada tahun ini agar menyumbang kepada kerjasama perniagaan dan perdagangan kedua-dua pihak. Kata beliau: "Kita mempunyai syarat dan peluang yang baik untuk menjayakan Ekspo China-ASEAN pada tahun ini. Ekspo yang sudah lima kali diadakan dengan jayanya telah meletakkan asas yang baik kepada kerjasama antara syarikat kedua-dua pihak. Selain itu, hubungan perdagangan China-ASEAN yang semakin rapat juga menyediakan syarat yang baik untuk Ekspo China-ASEAN. Jumlah perdagangan antara China dengan negara-negara ASEAN mencatat 230 bilion dolar Amerika pada tahun 2008, meningkat 14% berbanding dengan tahun 2007. Angka ini jauh melebihi 200 bilion dolar Amerika, iaitu matlamat perdagangan yang disasarkan oleh pemimpin kedua-dua pihak menjelang tahun 2010."
Menurut Chen Wu dengan gerai pameran yang berjumlah 3000 buah dan masa hanya 4 hari dalam Ekspo China-ASEAN sebelum ini tidak dapat memenuhi permintaan syarikat dan peniaga kedua-dua pihak.
Kata beliau: "3000 gerai pameran itu sentiasa habis ditempah sebaik sahaja ditawarkan. Oleh yang demikian, kami akan menambah jumlah gerai pameran kepada 4000 buah dan melanjutkan tempoh pameran kepada 5 hari pada tahun ini."
Naib Pengerusi Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi itu berkata, pihaknya juga mempertimbangkan penganjuran forum-forum yang bertemakan isu kewangan agar menyediakan platform kepada tokoh-tokoh kalangan perniagaan dan usahawan serantau untuk membincangkan dasar dan usaha kerjasama dalam menangani krisis kewangan.
Encik Chen Wu memaklumkan, ruang pameran khas akan didirikan dalam Ekspo China-ASEAN pada tahun ini bagi merancakkan interaksi dan kerjasama kedua-dua pihak dalam industri yang tertentu. Menurut beliau: "Kami merancang untuk mendirikan ruangan pameran yang khas mempamerkan produk-produk pertanian. China dan negara-negara ASEAN mempunyai kelebihan yang tersendiri dalam industri pertanian dan terdapat potensi kerjasama yang besar antara kedua-dua pihak dalam bidang tersebut. Oleh yang demikian, kami berharap Ekspo China-ASEAN menyediakan platform yang sesuai bagi merancakkan kerjasama antara sektor pertanian kedua-dua pihak dan membantu syarikat-syarikat serantau menangani krisis kewangan.