Cari:
China Sedia Berusaha Memastikan Sidang Kemuncak Kewangan London Capai Hasil Positif
2009-04-01 15:09:40 CRI Cetak
Presiden China, Hu Jintao telah berlepas ke Britain pagi tadi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kewangan Kumpulan 20 (G-20) ke-2 yang bakal diadakan di London besok. Ketika bertemu ramah dengan pemberita, Hu Jintao menyatakan bahawa China akan berusaha bersama-sama dengan pihak-pihak yang berkenaan dengan sikap yang bertanggungjawab, untuk memastikan sidang tersebut mencapai hasil yang positif dan pragmatik.

Menurut beliau, ketika berhadapan dengan kemelut ekonomi global, tindakan yang paling mendesak yang patut diambil sekarang ini boleh dilihat dari beberapa aspek: pertama, menstabilkan pasaran kewangan antarabangsa dengan secepat mungkin untuk memulihkan keyakinan orang awam dan para pelabur; kedua, melaksanakan pelan rangsangan ekonomi berdasarkan keadaan negara masing-masing, di samping meningkatkan penyelarasan dasar ekonomi makro antara satu sama lain, untuk mewujudkan pembangunan bersama; ketiga, menentang faham perlindungan perdagangan dan pelaburan untuk mengurangkan kesan krisis sekarang terhadap pelbagai negara, khususnya negara-negara membangun; dan, keempat, menggiatkan pembaharuan terhadap sistem kewangan antarabangsa untuk mengelakkan krisis serupa ini daripada berulang.

Demi menangani tempias krisis tersebut, kerajaan China turut memperkenalkan pakej rancangan yang berkesan untuk meningkatkan permintaan dalam negeri, menyusun semula struktur ekonomi negara, dan memperbaiki kehidupan rakyat. Pakej tersebut termasuklah pelan rangsangan ekonomi yang berjumlah 4000 bilion yuan RMB, pelan penyusunan dan pembangunan yang mencakupi 10 sektor, serta rancangan untuk meningkatkan taraf jaminan sosial dan menambah peluang kerja di bandar dan desa. Kini, kesemuanya telah menghasilkan kesan yang cukup baik.

Di samping berusaha merangsang pertumbuhan ekonomi dalam negeri, China juga aktif menyertai kerjasama antarabangsa dalam menangani krisis kewangan. Sebagai contohnya, China telah menandatangani perjanjian pertukaran mata wang dua hala (BSA) yang berjumlah 650 bilion yuan RMB dengan beberapa negara dan wilayah, serta menyertai aktiviti pengumpulan modal perdagangan bagi syarikat kewangan antarabangsa.

Isu penambahan dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menjadi perhatian umum dalam sidang kali ini. Berkaitan dengan isu itu, kerajaan China telah kerap kali menyatakan pendiriannya, iaitu menyokong rancangan penambahan dana IMF dengan prasyarat terjaminnya keselamatan modal dan keuntungan yang munasabah. China mencadangkan supaya rancangan tersebut dilaksanakan berdasarkan prinsip mengutamakan keseimbangan antara hak dengan kewajiban, serta membahagikan tanggungan dengan adil. Naib Presiden Bank Rakyat China, Puan Hu Xiaolian baru-baru ini menyatakan bahawa:

"China menyokong IMF mengumpulkan modal dengan cara yang lebih inovatif. Jika pertubuhan itu mengumpulkan modal dengan cara mengeluarkan bon, China akan menimbangkan untuk membeli bon itu."

China, sebagai salah sebuah negara membangun, giat memelihara kepentingan negara-negara membangun untuk mendorong pembangunan bersama. Beberapa orang pegawai kanan kerajaan China telah menyatakan dengan jelas bahawa, hak perwakilan dan hak bersuara bagi negara-negara membangun dalam pertubuhan kewangan antarabangsa perlu ditingkatkan. Oleh itu, sidang kali ini diharap dapat menghasilkan rancangan yang konkrit untuk merealisasikan sasaran tersebut. Naib Menteri Luar China, He Yafei menyatakan bahawa:

"Kami, dengan tegas, akan giat mendorong pencapaian Matlamat Pembangunan Milenium (MDG), dan menunaikan segala janji kami kepada negara-negara Afrika dan negara-negara membangun."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China