Hu Jintao menyatakan bahawa hubungan China-A.S. sedang berada di titik permulaan yang baru dalam sejarah, dan mempunyai peluang yang besar untuk dikembangkan. Menurut beliau, demi mewujudkan hubungan yang bersifat kerjasama, positif dan menyeluruh antara kedua-dua negara, tindakan yang boleh dilihat dari beberapa aspek ini patut diambil sekarang: pertama, mengambil langkah yang positif untuk meningkatkan dialog dan kerjasama dalam pelbagai bidang; kedua, berganding bahu menghadapi masalah-masalah yang serba mencabar pada abad ini untuk mewujudkan pembangunan bersama; dan, ketiga, mempererat pertukaran dan kerjasama dalam bidang ekonomi, antikeganasan, kawalan senjata, pelaksanaan undang-undang, penggunaan tenaga dan usaha menangani perubahan iklim. Selain itu, tindakan juga perlu diambil untuk meningkatkan komunikasi dan penyelarasan antara kedua-dua pihak dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau serta isu-isu global.
Barack Obama pula menyatakan bahawa hubungan China-A.S. telah berkembang menjadi hubungan dua hala yang paling penting di dunia. Menurut beliau, kedua-dua negara bukan sahaja mempunyai hubungan ekonomi yang rapat, malah mempunyai banyak kepentingan bersama dalam isu-isu penting di peringkat antarabangsa dan serantau. Kata beliau:
"Hubungan antara A.S. dengan China dilihat kian dinamik pada masa ini, khususnya dalam bidang ekonomi. Saya amat yakin, hubungan sebegini bukan sahaja amat penting bagi rakyat kedua-dua negara, malah dapat menyediakan suasana yang bermanfaat bagi negara-negara di dunia untuk menghadapi pelbagai cabaran."
Hu Jintao amat bersetuju dengan pandangan Obama itu. Kata beliau:
"Hubungan China-A.S. yang baik bukan sahaja bersesuaian dengan kepentingan asas kedua-dua negara, malah bermanfaat bagi keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau Asia-Pasifik dan seluruh dunia. China bersedia berusaha bersama-sama dengan A.S. untuk melonjakkan lagi hubungan ini ke tahap yang lebih tinggi."
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin telah sepakat untuk membentuk mekanisme dialog strategi dan ekonomi China-A.S., dan memutuskan untuk mengadakan dialog pusingan pertama di Washington pada musim panas nanti. Mereka juga bersetuju untuk mengeratkan kerjasama yang pragmatik dalam bidang tenaga, alam sekitar dan perubahan iklim, di samping memulihkan dan meluaskan perbincangan mengenai kawalan senjata serta isu-isu keselamatan yang lain. Selain itu, dialog berhubung dengan hak asasi manusia juga akan dipulihkan seawal yang mungkin.
Kedua-dua pemimpin itu menegaskan bahawa, sebagai dua kuasa ekonomi yang penting, China dan A.S. akan berganding bahu untuk mendorong pemulihan dan pertumbuhan ekonomi dunia yang pesat, sekali gus menstabilkan sistem kewangan antarabangsa. Mereka membuat komitmen akan menyokong aktiviti perdagangan dan pelaburan global yang dapat menguntungkan pelbagai pihak, serta menentang faham perlindungan dengan tegas, untuk memastikan hubungan perdagangan dua hala terus berkembang dengan sihat dan stabil.