Cari:
Mampukah Kerajaan Abhisit Mengembalikan Kestabilan Situasi di Thailand?
2009-04-14 16:13:55 CRI Cetak

Thailand sepatutnya menyambut Hari Songkran semalam. Namun, pertumpahan darah antara tentera dan polis dengan penunjuk perasaan antikerajaan yang berlaku semalam menjadikan perayaan itu diliputi mendung. Penganalisis berpendapat, bahawa walaupun kerajaan telah berjanji akan segera memulihkan keadaan dengan menggunakan kuasa undang-undang, namun, mereka tidak optimis terhadap situasi negara tersebut dalam masa terdekat.

Disebabkan tunjuk perasaan oleh penyokong Perikatan Demokrasi Menentang Diktator (DAAD) yang semakin ganas, Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva mengisytiharkan darurat di Bangkok dan kawasan sekitarnya petang kelmarin. Tentera Thailand cuba mengambil tindakan untuk menyuraikan penunjuk perasaan di Bangkok semalam, dan mengakibatkan berlaku pertempuran dengan mereka. Manakala penunjuk perasaan terus menggunakan "taktik gerila" dengan mengadakan demonstrasi di merata-rata tempat di Bangkok. Mereka membakar kereta dan tayar untuk menghalang pergerakan tentera. Bangkok kini berada dalam keadaan huru-hara. Menurut Agensi Berita Thailand, 77 orang telah tercedera dalam rusuhan tersebut. Pihak kerajaan mengesahkan, dua orang penunjuk perasaan terbunuh dalam konflik dengan orang awam. Kawasan yang lain di Thailand juga tidak stabil pada masa ini. Penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di depan Stesen Televisyen Negara Thailand, Cawangan Khon Kaen semalam, mengakibatkan siaran stesen itu bagi 10 provinsi di timur laut negara tersebut tergendala.

Pergolakan situasi di Thailand memberikan kesan yang besar terhadap kehidupan rakyat. Sekarang, stesen kereta api Bangkok telah menghentikan operasinya. Sebahagian bas juga mengubah laluannya atau menghentikan perkhidmatannya. Kawasan membeli-belah juga telah ditutup. Semua sambutan perayaan Hari Songkran di Bangkok sudah dibatalkan.

Sikap kerajaan Abhisit dalam menghadapi rusuhan ini sama dengan pihak tentera dan polis. Abhisit berulang kali menyampaikan ucapan melalui siaran TV dan menggesa penunjuk perasaan supaya pulang ke rumah. Menurut beliau, selain daripada Pejabat Perdana Menteri, tentera juga telah berjaya menyuraikan penunjuk perasaan di kawasan yang lain di Bangkok. Kerajaan akan segera memulihkan keadaan dengan menggunakan undang-undang. Beliau berharap rakyat memberi kerjasama kepada pihaknya. Jurucakap kerajaan Thailand, Panithan Wattanayakorn juga menegaskan bahawa situasi negara itu sedang kembali dikawal oleh pihak kerajaan. Pada masa yang sama, Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Thailand, Songkitti Chakkrabat juga berucap dan menyatakan bahawa tugas utama pihaknya ialah melancarkan lalu lintas di jalan-jalan yang ditutup oleh penunjuk perasaan. Menurut beliau, pihak tentera tidak akan menggunakan senjata. Pihak polis pula menyatakan bahawa pemimpin DAAD yang ditahan akan dibicara secara adil.

Walaupun kerajaan berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kestabilan situasi negara, namun tindakan tegas mereka untuk menyuraikan penunjuk perasaan dan pertumpahan darah akibatnya menimbulkan reaksi yang bertentangan pula dari arena politik negara tersebut. Speaker Senat Thailand, Prasopsuk Boondej menyatakan bahawa kerajaan menggunakan kekerasan yang berlebihan untuk menindas penunjuk perasaan. Pihaknya mengadakan sidang tergempar hari ini untuk membincangkan situasi sekarang. Mantan Speaker Senat, Suchon Chaleekrua juga telah mengetuai sekumpulan mantan senator untuk meminta Raja Thailand menyelesaikan keadaan ini.

Dengan situasi dalam negeri yang begitu rumit, persoalan yang timbul kini ialah adakah tindakan menyuraikan penunjuk perasaan yang diambil oleh kerajaan Abhisit berkesan atau tidak. Pemimpin asal penunjuk perasaan DAAD, iaitu Mantan Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang dalam buangan di luar negara, semalam telah mengkritik secara terbuka dengan menyatakan bahawa kerajaan menggunakan kekerasan untuk menindas rakyat yang tidak bersenjata. Pilihan bagi kerajaan Abhisit amat terbatas. Jika tindakan menyuraikan penunjuk perasaan itu diteruskan, lebih banyak pertentangan dan pertumpahan darah akan berlaku; Jika tindakan tersebut dihentikan, Perikatan Rakyat Demokrasi Thailand (PAD) akan berasa tidak puas hati kerana "kelemahannya".

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China