Cari:
Lee Hsien Loong: Kerjasama ASEAN-China Bermanfaat bagi Menangani Krisis Kewangan
2009-04-14 16:22:23 CRI Cetak

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, negara-negara anggota ASEAN telah menjalinkan hubungan yang baik dengan China berdasarkan persefahaman yang kian meningkat. Hal ini bukan sahaja akan membantu kerjasama kedua-dua pihak dalam menangani krisis kewangan global, malah bermanfaat bagi keamanan dan kestabilan di rantau Asia-Pasifik. Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan wartawan Agensi Berita Xinhua baru-baru ini

Menurut Perdana Menteri Singapura itu, China merupakan salah satu rakan dagang yang paling penting bagi ASEAN. Jumlah perdagangan antara kedua-dua pihak mewakili 10% daripada jumlah keseluruhan perdagangan luar bagi negara-negara ASEAN. Kedua-dua pihak kerap kali mengadakan pertemuan antara pemimpin dan pegawai kanan pada setiap tahun, di samping menjalinkan hubungan yang rapat dalam bidang perniagaan dan pertukaran di kalangan rakyat. Selain itu, penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China ASEAN mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak.

Perdana Menteri itu memuji usaha China dalam memperbaiki dan memperkukuh hubungan dengan ASEAN. Katanya, ASEAN dan China mengikat janji untuk memelihara keamanan dan kestabilan di rantau Asia Pasifik dan memandang hal ini sebagai prasyarat untuk mewujudkan perkembangan ekonomi serantau. China selaku negara pemeterai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara berjanji menyumbang kepada keamanan dan kerjasama serantau. Di samping itu, Perisytiharan Tindakan Pihak-pihak Berkenaan di Laut China Selatan yang ditandatangani oleh ASEAN dan China meletakkan asas untuk menyelesaikan isu Laut China Selatan secara damai.

Menurut Perdana Menteri itu, Forum Rantau ASEAN merupakan landasan yang amat berjaya dalam mendorong keamanan dan keselamatan serantau. Ia membincangkan kerjasama dalam isu-isu keselamatan seperti antikeganasan, kerja-kerja penyelamatan bencana, keselamatan marin dan mencegah penggunaan senjata nuklear. Dalam konteks ini, Singapura memuji sumbangan dan janji-janji yang dibuat China kepada Forum Rantau ASEAN. Kata beliau, forum tersebut mampu memainkan peranan yang lebih besar dalam memastikan keamanan di rantau Asia Pasifik atas kerjasama yang bersepadu antara negara-negara yang terlibat.

Lee Hsien Loong berpendapat, bahawa sistem perdagangan dan pelaburan yang bersifat terbuka amat penting bagi Asia kerana pertumbuhan ekonomi semua negara di rantau ini tergantung kepada perdagangan. Untuk menangani krisis kewangan yang sedang merebak ke seluruh dunia, ASEAN dan China perlu menunjukkan syarat yang jelas, iaitu negara-negara di rantau ini akan mengekalkan prinsip perdagangan yang terbuka agar memulihkan keyakinan kepada prospek pelaburan demi jangka panjang.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam temu bual itu menegaskan, menyelesaikan krisis kewangan global dengan segera merupakan perkara yang paling didahulukan. Hal ini memerlukan kerjasama masyarakat antarabangsa, terutama dalam menangani kesan negatif daripada jumlah permintaan yang menurun di lingkungan sejagat. Negara-negara di dunia seharusnya bertindak untuk merangsang perbelanjaan, di samping mengelakkan kegiatan ekonomi dan pinjaman kredit daripada terus merosot. Menurut Perdana Menteri itu, usaha yang paling mendesak bagi negara-negara maju adalah memperbaiki sistem kewangannya yang hampir runtuh.

Lee Hsien Loong berkata, krisis kewangan global menunjukkan bahawa pembangunan entiti ekonomi baru memerlukan perkembangan ekonomi sejagat yang sihat dan stabil. Walaupun kekuatan entiti ekonomi baru masih lemah jika dibandingkan dengan negara-negara maju, namun entiti ekonomi baru memberikan kesan yang kian besar terhadap kestabilan kewangan dunia. Oleh itu, negara-negara tersebut perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam memelihara sistem kewangan dunia dan mengendalikan urusan antarabangsa.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China