Naib Perdana Menteri China, Zhang Dejiang dalam Persidangan Peringkat Menteri Antarabangsa Mengenai Tenaga Nuklear Pada Abad ke-21 yang didakan di Beijing hari ini, berkata bahawa China berusaha mengembangkan jana kuasa elektrik nuklear dan sumber tenaga yang bersih. Di samping itu, menurut beliau, China akan berusaha menjamin keselamatan penggunaan tenaga nuklear.
Dalam menghadapi masalah kekurangan sumber tenaga dan perubahan iklim, semakin banyak negara di dunia termasuk China lebih mengutamakan tenaga nuklear. Zhang Dejiang berkata, "Usaha menggunakan tenaga nuklar China bermula pada tahun 1950-an. Sekarang, China telah mewujudkan sistem industri nuklear yang amat lengkap. Kapasiti jana kuasa elektrik nuklear China mencatat angka 9.1 juta kilowatt. Tenaga nuklear kian penting dalam pertumbuhan ekonomi di China."
Menurut beliau, mengembangkan tenaga elektrik nuklear dapat mengubah suai struktur sumber tenaga di China, menjamin keselamatan sumber tenaga dan ekonomi negara, serta menjamin kebersihan udara. Walau bagaimanapun, tahap penggunaan tenaga nuklear di China masih kurang maju, arang batu masih merupakan sumber tenaga yang utama.
China telah menggubal dan melaksanakan "strategi meningkatkan penjimatan sumber tenaga dan mengubah suai struktur sumber tenaga. Zhang Dejiang menyatakan bahawa meningkatkan penggunaan sumber tenaga yang bersih, khususnya elektrik nuklear merupakan strategi yang penting bagi China. Katanya, "Usaha menggunakan tenaga nuklear untuk tujuan awam di China berkembang pesat, beberapa projek loji jana kuasa elektrik nuklear yang baru di kawasan pantai China sedang dibina satu persatu. Selain itu, projek-projek penyelidikan sains yang berkaitan dengannya sedang giat dijalankan."
Menurut rancangan yang berkenaan, kapasiti jana kuasa elektrik nuklear China akan mencatat angka 40 juta kilowatt pada tahun 2020, yakni meningkat lebih 4 kali ganda berbanding dengan masa sekarang.
Ketua Pengarah Agensi Tenaga Nuklear Negara, Chen Qiufa menyatakan bahawa China memberikan perhatian yang tinggi terhadap keselamatan dalam proses menggunakan tenaga nuklear. Katanya, "China telah menganggotai konvensyen antarabangsa tentang keselamatan tenaga nuklear serta mewujudkan peraturan-peraturan, pengawalan dan pentadbiran yang amat sempurna tentang hal tersebut. Selain itu, China telah menubuhkan jawatankuasa penyelarasan menyelamat kemalangan nuklear yang terdiri daripada 18 kementerian dan suruhanjaya, serta menggubal panduan menangani kecemasan nuklear negara. China juga berusaha mengurangkan jumlah pembuangan sisa bahan radioaktif demi menjamin keselamatan alam sekitar."
Ketua Setiausaha Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Mohamed El Baradei memuji usaha China yang menggunakan tenaga nuklear untuk tujuan awam. Katanya, "Saya amat menyokong rancangan pembangunan tenaga elektrik nuklear China itu. Pertumbuhan ekonomi China memerlukan lebih banyak sumber tenaga. Menggunakan petroleum dan gas asli memerlukan modal yang amat besar dan mengakibatkan masalah perubahan iklim. Jadi, China perlu berusaha mengembangkan pembangunan tenaga elektrik nuklear."








