Cari:
Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Xishuangbannan Ke-12 Kekal Mendapat Sambutan yang Baik
2009-04-29 16:37:53 CRI Cetak

Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Kawasan Sempadan Xishuangbannan Ke-12 telah diadakan di bandar Jinghong, provinsi Yunnan China sempena sambutan tahun baru kalender etnik Dai yang juga dikenali sebagai Perayaan Songkran yang jatuh pada 13 April.

Walaupun negara-negara serantau kini dilanda tempias krisis kewangan global, namun ekspo tersebut tetap menunjukkan kemeriahannya dan mendapat sambutan yang baik daripada peniaga-peniaga dalam dan luar negeri. Ekspo yang berlangsung dengan jayanya itu sungguh melegakan hati Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Import-Eksport Xishuangbanna, Xie Lihuang yang bertanggungjawab dengan penganjuran ekspo, sekali gus menghapuskan kebimbangannya ketika kerja-kerja persiapan ekspo tersebut, terutama dalam menarik penyertaan peniaga serantau.

Beliau berkata: "Ekspo pada tahun ini diadakan sempena Perayaan Songkran atau Pesta Air yang diraikan oleh penduduk di beberapa negara Asia Tenggara. Oleh itu, kami bimbang peniaga yang menyertai ekspo mungkin akan berkurang berbanding dengan tahun-tahun lepas."

Xie Lihuang, ,60 tahun, menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi dan perdagangan sejak sekian lama. Kebimbangannya itu memang ada asasnya kerana ekspo itu diadakan ketika keraian tahun baru tradisi itu disambut oleh beberapa negara Asia Tenggara, termasuk Thailand, Laos, Kemboja dan Myanmar. Malah, kerajaan Thailand tidak membentuk rombongan syarikat untuk menyertai ekspo pada tahun ini, sebaliknya membiarkan syarikat negara itu mengatur sendiri penyertaan ke ekspo berkenaan.

Walau bagaimanapun, perkara yang di luar jangkaan Xie Lihuang ialah syarikat-syarikat Thailand, termasuk yang terkemuka tetap menyertai ekspo dengan aktif, dan mencatatkan jumlah paling banyak daripada negara lain.

Xie Lihuang memberitahu wartawan: "Syarikat yang membuka pameran dalam ekspo pada tahun ini lebih banyak berbanding masa-masa lalu. Jumlah gerai yang ditawarkan buat kali pertama mencatat 484 buah. Sesetangah gerai pemeran ditambah di kawasan koridor kerana ruang tidak mencukupi oleh terlalu banyak syarikat ingin mempamerkan produk mereka dalam ekspo."

Persatuan Hotel dan Pelancongan Segi Tiga Emas dari Myanmar merupakan salah satu peserta yang mempromosi produk pelancongan dalam Ekspo, Pengerusi persatuan, Encik U Soe Shwe berpendapat, usaha mempromosi produk pelancongan mereka di Jinghong lebih berkesan kerana ramai pelancong memanfaatkan Perayaan Songkran untuk mengunjungi ekspo tersebut. Kata beliau: "Kami mempromosi program pelancongan ke beberapa destinasi pelancongan yang terkenal seperti Kyaing Tong, Tachilek, dan bandar-bandar seperti Yangon, Mandalay dan Bagan. Dengan ini, kami ingin merancakkan lagi usaha pelancongan dan perdagangan antara kedua-dua negara, terutama di kawasan sempadan."

Krisis kewangan yang kini merebak ke seluruh dunia diumpamakan sebagai arus dingin yang melanda arena ekonomi. Walau bagaimanapun, Xie Lihuang berkata beliau merasa amat gembira kerana krisis itu tidak memberikan apa-apa kesan negatif terhadap Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Xishuangbanna pada tahun ini. Perkara yang lebih menggembirakan beliau adalah dewan pameran yang baru bagi ekspo tersebut akan siap dibina pada tahun depan. Kata beliau: "Dengan adanya dewan pameran yang baru akan menjadikan Ekspo Xishuangbanna berlangsung dengan lebih teratur. Oleh itu, saya percaya ekspo ini mempunyai prospek yang lebih cerah.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China