Selepas bencana tsunami lautan Hindi yang berlaku pada 26 Disember tahun 2004, Malaysia telah menetapkan 26 Disember sebagai Hari Kesedaran Bencana Negara. Di China pula, tarikh 12 Mei ditetapkan sebagai Hari Pencegahan dan Pengurangan Bencana Negara mulai tahun ini. Penetapan hari peringatan seumpama itu bukan sahaja bertujuan untuk memperingati bencana gempa bumi kuat yang menyebabkan ramai yang terkorban dan kerugian harta benda yang besar di provinsi Sichuan pada 12 Mei tahun 2008, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran dan kemampuan orang ramai dalam usaha mengelakkan diri daripada bahaya bencana-bencana alam. Mengenai topik Hari Pencegahan dan Pengurangan Bencana Negara di China, wartawan CRI telah mewawancara Setiausaha Bahagian Pengurusan Krisis dan Bencana, Majlis Keselamatan Negara, Datuk Che Moin Umar. dalam temu bual menerusi telefon baru-baru ini.
Wartawan: Menurut pandangan Dato', apakah maknanya untuk menetapkan hari peringatan seumpama itu?
Datuk Che Moin Umar: Malaysia mengambil keputusan untuk mengisytiharkan 26 Disember sebagai Hari Kesedaran Negara untuk mengingatkan anggota daripada pelbagai kalangan masyarakat bahawa bencana alam merupakan satu fenomena yang tetap berlaku, dan sekiranya tindakan berjaga-jaga tidak diambil dari sekarang, maka kita akan mengalami kerugian yang besar, sama ada dari harta benda, alam sekitar, ataupun nyawa sendiri.
Wartawan: Menurut pengalaman Malaysia, apakah yang paling penting boleh di buat sebelum berlakunya bencana untuk mencegah kerugian besar harta benda dan nyawa semasa bencana?
Datuk Che Moin Umar: Kalau melihat dari segi di Malaysia sendiri, kami sentiasa berhadapan dengan bencana banjir kerana monsun. Maka, kami telah menetapkan peraturan tentang pengurusan banjir, dan menubuhkan suruhanjaya khas bagi usaha mencegah banjir. Walau bagaimanapun, berikutan daripada keadaan-keadaan yang berlaku ini, pengurusan bencana itu perlu melibatkan suatu penyelarasan dari segi dasar dan pelaksanaannya dengan keperluan-keperluan kepada pencegahan bencana itu sendiri.
Wartawan: Bagaimana Dato' menilai langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan China untuk menangani bencana gempa yang berlaku di Provinsi Sichuan pada 12 Mei tahun lepas dan usaha pembinaan semula pasca bencana?
Datuk Che Moin Umar: Dari segi dokumen yang kita ada dan juga melalui kerjasama dengan Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur, memang kita merasakan bahawa usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan China dalam menangani bencana gempa Sichuan amat besar. Walaupun China sebagai salah sebuah negara yang besar dari segi ekonomi, tetapi dalam usaha menangani bencana itu, kerajaan China sanggup menerima bantuan dengan hati terbuka, misalnya daripada Malaysia, sebuah negara yang kecil. Ini merupakan sesuatu pendekatan yang diambil oleh kerajaan dengan melihat kepada keperluan semasa pada waktu itu dan kepentingan masyarakat.