Cari:
Pembangunan Semula Pascabencana Sichuan China Capai Kejayaan yang Besar
2009-05-08 16:53:38 CRI Cetak

Usaha pembangunan semula pascabencana Sichuan China yang merangkumi pelbagai aspek telah mencapai kejayaan yang besar. Pejabat Penerangan Dewan Negara yang mengadakan sidang akhbar tentang pembinaan semula pascagempa Wenchuan hari ini memaklumkan perkara tersebut.

Pada tahun 2008, gempa bumi yang melanda Sichuan, China telah mengakibatkan kematian dan kerugian harta yang banyak serta menjejaskan pembangunan sosioekonomi. Setahun sudah berlalu, usaha mangsa di kawasan bencana dan sokongan daripada pelbagai kalangan masyarakat telah menjadikan kerja-kerja pembangunan semula mencapai kejayaan yang besar. Setakat ini, pembinaan semula landasan kereta api, lebuh raya dan lapangan terbang di provinsi Sichuan, Gansu dan Shaanxi telah siap atau sudah baik pulih secara menyeluruh dan sudah pun berfungsi semula. Manakala, hampir 70% daripada keseluruhan peruntukan dalam pembangunan semula kemudahan telekomunikasi telah pun digunakan. Selain itu, 98% syarikat perindustrian di kawasan bencana telah memulihkan operasi masing-masing. Projek-projek yang membabitkan pembinaan sistem pentadbiran bandar, pekan, kampung, sistem mencegah dan mengatasi bencana, membaik pulih ekologi, menyusun dan menyuburkan semula tanah tanaman dan perkhidmatan rawatan emosi juga turut dimulakan secara keseluruhannya.

Dalam sidang akhbar hari ini, Naib Ketua Pengarah Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara, Mu Hong berkata:

"Sehingga penghujung bulan April lalu, peruntukan bagi program pembangunan semula di provinsi Sichuan, Gansu dan Shaanxi yang digunukan telah mencapai lebih 360 bilion yuan RMB, dan ini merupakan 1/3 daripada peruntukan keseluruhan."

Menurut maklumat daripada sidang akhbar tersebut, pembinaan rumah penduduk bandar dan kampung merupakan kerja yang paling penting dan diutamakan dalam usaha membangunkan semula kawasan bencana itu. Sekarang kerja-kerja pembaikpulihan rumah petani di kawasan bencana hampir selesai semuanya. Rumah yang akan dibina semula dijangka siap menjelang penghujung tahun ini dan selewat-lewatnya tidak melampaui Tahun Baru China tahun depan. Ketua Bahagian Rancangan Bandar dan Desa Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Desa China, Tang Kai berkata:

"Saya baru pulang dari Sichuan. Menurut statistik terkini, kerja pembaikpulihan rumah petani telah selesai kesemuanya. 98% daripada projek pembinaan semula rumah pula sedang dilaksanakan dengan lancar dan cepat, 80% daripada kerja tersebut telah selesai. Saya percaya mangsa di Sichuan boleh berpindah ke rumah baru menjelang musim sejuk pada penghujung tahun ini."

Pembangunan semula sekolah juga menjadi salah satu tugas penting dalam usaha pembangunan semula pascabencana ini. Naib Ketua Pengarah Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara, Mu Hong menyatakan bahawa kerja dalam bidang tersebut berjalan dengan lancar. Kata beliau:

"Setakat ini, kira-kira 70% kanak-kanak di kawasan bencana telah pindah dan mula belajar di bangunan baru. Dengan keadaan yang ada sekarang ini, kami berjanji akan memastikan 95% kanak-kanak dapat belajar di bangunan baru menjelang penghujung tahun ini, dan menjelang semester musim bunga tahun 2010, semua bangunan sekolah yang baru akan siap dibina."

Menurut rancangan kerajaan pusat, pembangunan semula pascabencana akan dipercepat lagi dan dan usaha akan ditambah supaya misi ini diselesaikan dalam tempoh dua tahun, walaupun dulunya, dirancangkan dalam tempoh tiga tahun untuk menjamin kehidupan yang selesa kepada penduduk di kawasan bencana ini.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China