12 Mei ini merupakan ulang setahun gempa bumi Sichuan, dan juga Hari Mencegah Bencana Negara yang pertama di China. Pegawai Kementerian Hal Ehwal Awam, Zou Ming menyatakan bahawa kerajaan China sedang berusaha untuk meningkatkan penyelidikan dan pembangunan mekanisme untuk mencegah dan meramal bencana alam, seperti gempa bumi dan banjir, dan menjadikan pelan tindak balas bencana sebagai jaminan penting bagi mewujudkan pembangunan sosioekonomi yang berterusan.
Pegawai Kementerian Hal Ehwal Awam, Zou Ming dalam sidang akhbar di Beijing hari Isnin
Dalam sidang akhbar yang diadakan di Beijing hari ini, Zou Ming berkata: "China sedang mempercepat pelaksanaan projek-projek penting yang dapat meningkatkan keupayaan kerajaan dalam mengurangkan kerugian akibat bencana serta memberikan bantuan segera. Antaranya termasuk kajian tentang risiko bencana di kawasan-kawasan yang mudah dilanda bencana di seluruh negara dan keupayaan mengurangkan kerugian akibatnya; projek mewujudkan sistem kepimpinan bertindak pantas ketika berlaku bencana; dan, projek penggunaan satelit dalam mengatasi bencana."
Dalam aspek pengawasan dan pengesanan gempa bumi, China kini sedang menggunakan sumber-sumber di dalam dan luar negara, termasuk sistem satelit, untuk menjalankan penyelidikan yang berkaitan. Selain itu, China akan melancarkan beberapa satelit yang khusus untuk mencerap dan mengesan tanda-tanda fizikal yang mungkin berkaitan dengan gempa bumi. Ketika menyebut hal tersebut, pegawai dari Biro Seismologi China, Du Wei berkata: "Pada penghujung tahun 2008, kami telah memulakan satu projek penyelidikan tentang kawasan gempa bumi yang menelan belanja lebih 400 juta yuan RMB. Dengan melaksanakan projek tersebut, China akan meningkatkan keupayaannya dalam mengawas, meramal dan menyelidik gempa bumi."
Du Wei menyatakan bahawa China mula membuat penyelidikan tentang ramalan awal gempa bumi beberapa tahun lalu, namun sistem teknologi yang praktikal masih belum dapat diwujudkan. Menurut beliau, China sedang giat berusaha untuk membangunkan sistem amaran pengesan gempa bumi dan tsunami, dan dijangka akan menyiapkan satu sistem amaran gempa bumi percubaan pada tahun ini.
Banyak kemudahan meteorologi turut musnah dalam gempa bumi yang berlaku pada tahun lalu. Pegawai dari Pentadbiran Meteorologi China, Chen Zhenlin berkata: "Menjelang musim banjir tahun ini, jabatan-jabatan meteorologi di Provinsi Sichuan dan kawasan lain yang dilanda gempa bumi telah bersiap sedia untuk menghadapi kecemasan dan menjalankan pengawasan, serta memberi amaran dan perkhidmatan tentang bencana alam."
Hari ini, Jabatan Penerangan Dewan Negara telah mengeluarkan kertas putih "Tindakan China untuk Mengurangkan Bencana". Kertas putih ini telah memaklumkan usaha China untuk mengurangkan bencana dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Menurut kertas putih tersebut, kerajaan China akan mewujudkan mekanisme penyampaian maklumat bencana yang tepat, terbuka dan telus kepada orang awam. Kertas putih ini juga memaklumkan bahawa China akan bersikap terbuka untuk menyertai kerjasama antarabangsa dalam bidang mengurangkan bencana, mewujudkan dan menyempurnakan mekanisme kerjasama antarabangsa yang berkenaan, dan saling membantu dalam menghadapi bencana yang serius.