Cari:
Pembangunan Semula Kawasan Bencana Gempa Bumi Sichuan
2009-05-12 14:37:43 CRI Cetak

Tarikh 12 Mei akan sentiasa membawa kesedihan ke dalam hati setiap orang China. Pada hari yang sama tahun yang lalu, gempa bumi berukuran 8.0 pada skala Richter telah berlaku di kaunti Wenchuan di provinsi Sichuan, barat daya China. Selepas gegaran selama tiga minit, 68,712 orang telah menjadi korban dan 17,921 orang lagi hilang. Bagaimana keadaan di Sichuan setahun selepas itu? Bagaimana kehidupan orang Sichuan sekarang ini? Wartawan kami akan membawa anda meninjau ke Sichuan.

Encik Dong Zhenji tinggal di Qipan, mukim Xiang'e, bandar Dujiangyan. Setiap hari, warga emas ini akan membawa burung kesayangannya di sekitar rumah barunya yang sudah dibina semula. Kampung Qipan yang sudah dibina semula seperti kawasan perumahan yang moden di bandar. Menurut Encik Dong Zhenji, beliau berasa amat puas hati dengan kehidupannya sekarang.

"Tidak pernah saya bayangkan saya dapat tinggal di rumah yang begini baik. Walaupun rumah tempat tinggal saya sebelum ini lebih baik daripada rumah jiran, namun ia kalah jika dibandingkan dengan rumah sekarang. Rumah sekarang yang dibekalkan air, elektrik dan gas asli lebih baik daripada rumah batu tempat tinggal saya sebelum ini."

Sebelum ini, penduduk di kampung Qipan tinggal bertaburan di rumah yang dibina sendiri di gunung. Kebanyakan rumah mereka telah runtuh dalam gempa bumi itu. Demikian juga dengan rumah Encik Dong Zhenji. Namun, dalam tempoh 7 bulan sahaja, iaitu pada 22 Januari tahun ini, Dong Zhenji telah menjadi salah seorang dalam kumpulan pertama yang bernasib baik kerana dapat pindah ke rumah baru di kawasan bencana itu. Dia bersama-sama dengan lebih 1500 orang penduduk desa tersebut telah pindah ke kawasan perumahan yang baru dibina itu. Kawasan perumahan itu dibina oleh kerajaan tempatan. Rumah yang baru disediakan percuma kepada penduduk kampung Qipan dengan piawaian 35 meter persegi bagi setiap orang. Ada 9 orang anggota dalam keluarga Dong Zhenji. Mereka diberi dua unit pangsapuri yang setiap unit dengan empat bilik dan satu ruang tamu.

Dalam gempa bumi tersebut, bukan sahaja kampung Qipan, seluruh mukim Xiang'e telah mengalami kerosakan yang teruk. Hampir semua rumah runtuh akibat gegaran. Sekarang, bandar Chengdu sedang membantu mukim tersebut untuk membina 16 kawasan perumahan seperti kampung Qipan, supaya semua mangsa bencana dapat pindah ke rumah yang baru sebelum ketibaan musim sejuk tahun ini.

Selain kawasan perumahan, sebuah sekolah menengah dan dua buah sekolah rendah di pekan Xiang'e juga perlu dibangunkan semula, kerana runtuh dalam gempa. Sekarang, dengan bantuan kerajaan Shanghai, sebuah sekolah rendah yang baru hampir siap dibina di sini.

Di tapak pembinaan, lebih 100 orang pekerja sedang sibuk bekerja. Bangunan yang sedang dibina ini ialah sekolah rendah Xiang'e yang merupakan sekolah berstruktur kayu yang pertama di China. Semua kayu yang digunakan ini disumbangkan oleh kerajaan Kanada.

Pegawai Jabatan Pendidikan Bandar Dujiangyang yang bertanggungjawab terhadap projek pembangunan semula pascabencana, Encik Zhang Ping memaklumkan, bahawa piawaian tahan gegaran yang tertinggi bagi bangunan awam telah digunakan dalam pembinaan bangunan sekolah rendah Xiang'e.

"Sekolah rendah Xiang'e yang baru ini dibina berdasarkan piawaian pembinaan yang asas sama ada dalam aspek reka bentuk, penilaian geologi, pengawasan ataupun pemeriksaan kualiti. Kami juga akan menghantar beberapa kumpulan kerja untuk mengawasi kualiti dan kemajuan pembinaannya."

Pembangunan semula di mukim Xiang'e hanya merupakan contoh pembangunan semula kawasan bencana di Sichuan. Kerajaan pusat telah menetapkan 19 buah provinsi dan bandar untuk menyertai kerja tersebut dengan cara "setiap provinsi atau bandar membantu satu kaunti bencana". Dengan usaha bersama ini, pembangunan semula di Sichuan telah dilaksanakan dengan lancar setahun yang lalu. Di Shifang, Beichuan, Wenchuan dan Mianzhu, sekolah, rumah dan jalan raya yang sedang dibina dapat dilihat di mana-mana.

Setiausaha Jawatankuasa Jabatan Pembinaan Provinsi Sichuan Parti Komunis China, Tian Liya memaklumkan, bahawa pihaknya telah membaik pulih rumah yang terjejas tetapi masih dapat digunakan sebagai tempat tinggal di kawasan desa. Kerajaan juga telah memulakan projek pembinaan semula pada bulan Julai tahun lalu untuk membantu membina rumah yang baru bagi lebih 1 juta keluarga petani yang rumah mereka runtuh atau rosak teruk akibat gempa itu.

"Untuk memastikan kualiti dan kemajuan pembinaan rumah petani di seluruh provinsi Sichuan, pakar-pakar bidang berkenaan telah menggubal panduan teknikal bagi pembangunan semula rumah tersebut. Kami juga menyediakan hampir 400 jenis pelan reka bentuk rumah untuk petani."

Sekarang, lebih 70,000 keluarga mangsa telah meninggalkan rumah sementara dan berpindah ke rumah yang baru. Menurut rancangan kerajaan provinsi Sichuan, semua projek pembinaan semula rumah di kawasan desa akan disiapkan menjelang hujung tahun ini, manakala semua projek pembinaan semula rumah di bandar akan disiapkan menjelang bulan Mei tahun depan. Pada masa itu, semua penduduk mangsa yang kehilangan rumah akibat gempa bumi tahun lepas dapat berpindah ke rumah yang baru.

Naib Pengarah Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara, Encik Mu Hong berkata bahawa projek-projek pembinaan semula sekolah di kawasan bencana sedang berjalan dengan lancar.

"Ditinjau secara menyeluruh pembangunan semula pascabencana ini, kemajuan pembangunan semula sekolahlah yang paling pesat. Setakat ini, hampir 70% kanak-kanak sudah belajar di bangunan baru.

Gempa bumi, dan tanah runtuh ekorannya yang berlaku pada tahun lalu merosakkan teruk kemudahan infrastruktur terutamanya jalan raya di provinsi Sichuan. Naib Pengarah Jabatan Perhubungan Provinsi Sichuan, Xian Xiong berkata bahawa setakat ini, 4 buah projek pemulihan lebuh raya di kawasan bencana telah selesai. 82 daripada 84 batang jalan raya utama yang rosak dalam gempa itu telah mula dibina semula.

"Kami akan menggunakan modal daripada kerajaan pusat sebanyak 30 bilion yuan RMB untuk membaik pulih semua infrastruktur jalan raya di kawasan bencana, dan berusaha meningkatkan piawaian teknikal, kemampuan tahan gegaran, supaya dapat meyumbang kepada pemulihan dan pembangunan sosial dan ekonomi di kawasan bencana."

Pembangunan semula kemudahan perkhidmatan awam, seperti perubatan dan kesihatan di kawasan bencana akan berakhir dalam tempoh 2 tahun akan datang.

Di tapak pembinaan projek Pusat Kebajikan Bandar Shifang, Ketua Jurutera dari Beijing, Huang Wenwei memaklumkan bahawa pasukan mereka terdiri daripada lebih 200 orang pekerja, antaranya hampir separuh pernah menyertai projek pembinaan stadium Sukan Olimpik di Beijing. Mereka berjanji akan menghasilkan projek yang tidak kalah mutunya kalau dibandingkan dengan stadium Sukan Olimpik Beijing.

"Kami sangat mementingkan mutu projek ini dan mengawal mutu bahan binaan dari peringkat permulaan lagi. Setiap jenis bahan perlu mendapat pengesahan mutu, dan ia tetap juga kami periksa sendiri satu persatu selepas itu. Hanya barang yang memenuhi standard sahaja yang boleh digunakan dalam projek ini. Kami juga melaksanakan kawalan yang ketat terhadap proses pembinaan, setiap proses diperiksa dengan teliti."

Padahal, yang perlu dibina semula di Sichuan bukan sahaja kemudahan-kemudahan yang musnah dalam gempa bumi itu, tetapi juga hati orang yang terluka. Pelbagai kalangan masyarkat telah memberikan bantuan untuk mengembalikan semangat mangsa gempa ini demi memperkukuh keyakinan mereka untuk terus hidup.

"My name is Suzi. I'm thirteen years old. My favorite sport is swimming. I like playing the piano. I like eating fruits. I like panda."

Gadis yang memperkenalkan dirinya dengan bahasa Inggeris ini namanya Qing Fangrui. Dia pelajar Sekolah Guangya di bandar Dujiangyan. Beberapa jam sebelum gempa itu berlaku, ibu bapanya telah menjengoknya di sekolah. Itulah pertemuan terakhir bagi keluarganya. Ketika ibu bapanya sedang dalam perjalanan pulang ke kampung, gempa bumi pun berlaku. Kedua-dua mereka hilang dan masih tidak ditemukan hingga kini.

Anak yatim piatu akibat gemba bumi seperti Qing Fangrui ini berjumlah 650 orang. Pengalaman menghadapi gempa bumi dan kehilangan ibu bapa telah menjadikan mereka orang yang dingin dan suka menyepi, jarang bercakap dengan orang lain.

Wu Xiaoxia, guru Qing Fangrui memaklumkan bahawa anak yatim akibat gempa ini mendapat sara hidup sebanyak 600 yuan RMB setiap bulan daripada kerajaan. Selain itu, kerajaan tempatan pula akan menyediakan bantuan tambahan, dan Qing Fangrui tidak mempunyai tekanan hidup sekarang. Pada masa yang sama, guru dan teman sekelasnya juga berusaha untuk menghiburkan hatinya dan mengurangkan kedukaannya. Wu Xiaoxia berkata,

"Dari hari Ahad ke hari Jumaat, dia makan dan tinggal bersama kawan-kawannya. Mereka mesra seperti sekeluarga. Pada hujung minggu, kadang-kadang, dia terus tinggal dengan kawan-kawannya, atau ada juga ibu bapa kawan-kawannya yang akan menjemputnya ke rumah mereka. Bapa saudaranya juga datang menziarahinya sebulan sekali. Pada semester ini, dia mula suka bercakap dengan orang lain."

Baru-baru ini, dalam satu pertandingan mengarang dalam bahasa Inggeris peringkat negara, Qing Fangrui memperoleh hadiah pertama. Dia menulis karangan tentang gempa bumi. Katanya, "Hati saya mesti tabah, yakin pada diri dan berdikari untuk menangani kesukaran."

Selepas gempa bumi berlaku, hidup perlu diteruskan. Kanak-kanak perlu bersekolah, orang dewasa perlu bekerja.

Fang Xu yang tinggal di Dujiangyan, pernah kehilangan sumber rezeki selepas gempa tersebut. Dengan bantuan kerajaan, dia telah mendapat kerja yang agak stabil sebagai pekerja binaan. Menurutnya, selepas gempa berlaku, kerajaan membawa beberapa banyak syarikat dari provinsi lain ke Sichuan untuk mengambil pekerja. Syarat yang dikenakan amat rendah. Asal sahaja bersedia, orang dari kawasan ini pasti akan mendapat kerja. Beliau memaklumkan,

"Pendapatan saya telah meningkat. Pada masa lalu, saya hanya mendapat lebih sedikit 1,000 yuan RMB sebulan, tapi sekarang saya boleh mendapat lebih daripada 2,000 yuan RMB sebulan. Kerajaan memang memberikan bantuan yang besar kepada kami."

Ketua Setiausaha kerajaan provinsi Sichuan, Yu Wei menyatakan bahawa sekarang, Sichuan telah membantu lebih 1.3 juta orang mangsa gempa bumi untuk mendapatkan kerja.

Lagu ini dinyanyikan oleh seorang wanita etnik Qiang yang bernama Wang Zhenfang. Rumahnya terletak di pusat gempa, pekan Yingxiu. Lirik lagunya menyebut, rumah yang baru dibina untuk mereka amat selesa untuk didiami. Mereka mahu menanam pokok delima di dalam pekarangan rumah baru.

Perubahan yang berlaku di kawasan bencana dalam tempoh setahun lalu telah membawa harapan baru kepada Wang Zhenfang. Dia yakin kepada masa depan hidupnya. Sama seperti Wang Zhenfang, rakyat di kawasan bencana ini juga mempunyai keyakinan untuk meneruskan hidup. Gempa bumi boleh memusnahkan rumah kita, namun ia tidak dapat menggoncang keyakinan kita terhadap masa depan yang lebih cerah.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China