Cari:
China Berusaha Membantu Mangsa Gempa Bumi Wenchuan Mengatasi Kemiskinan
2009-05-20 17:10:22 CRI Cetak

Lebih 80% daripada kawasan yang dilanda gempa bumi pada bulan Mei tahun lalu merupakan kawasan yang miskin. Seramai lebih 2 juta orang penduduk miskin hidup di kawasan tersebut. Selain itu, bencana gempa juga mengakibatkan ramai penduduk yang sudah menikmati kehidupan yang selesa kembali menjadi miskin. Kerajaan telah melaksanakan projek percubaan pembangunan semula pascabencana di kampung-kampung miskin sejak bulan September lalu, dan projek itu amat berjaya. Badan-badan yang terlibat menyatakan bahawa projek itu akan dilaksanakan di lebih banyak kawasan agar memberi faedah kepada lebih ramai kaum tani.

Projek percubaan pembangunan semula pascabencana di kampung-kampung miskin dianjurkan bersama oleh Jabatan Pimpinan Mengatasi Kemiskinan dan Penerokaan Dewan Negara China dan Program Pembangunan PBB. Projek itu melibatkan kampung-kampung miskin yang dilanda gempa bumi di provinsi Sichuan, Gansu dan Shaanxi.

Ketua Pengarah Jabatan Mengatasi Kemiskinan dan Penerokaan Sichuan, Zhao Xueqian berkata, bahawa kerajaan provinsi itu memberi perhatian yang berat terhadap projek tersebut. Sehingga 3 bulan pertama tahun ini, 14 buah kampung sesi pertama yang terlibat dalam projek tersebut telah menerima peruntukan sejumlah 110 juta yuan RMB. Menurut beliau, mekanisme kaum tani yang miskin menyertai pembangunan semula telah diwujudkan, kumpulan pentadbiran projek itu telah ditubuhkan melalui pengundian. Katanya, "Semua penduduk di kawasan tersebut dapat menyertai perancangan, pelaksanaan dan penyeliaan projek tersebut. Hasrat mereka dapat dilihat dalam pembangunan semula."

Menurut beliau, selain pembinaan infrastruktur seperti rumah, lebuh raya dan saliran untuk pertanian, rancangan tersebut juga menyediakan projek pembangunan secara berterusan bagi kaum tani. Untuk itu, kerajaan menyediakan latihan yang berkaitan kepada kaum tani untuk menjayakan projek-projek tersebut. Katanya, "Jabatan kami telah menyediakan latihan seperti membina rumah, infrastruktur dan teknik pertanian kepada kaum tani agar dapat meningkatkan daya pembangunan secara berterusan."

Selain kerajaan, beberapa badan seperti Tabung Bantuan Mengatasi Kemiskinan juga aktif menyertai pembangunan semula pascabencana. Tabung itu sedang mengadakan projek percubaan di Kampung Minle, kawasan Mianzhu Sichuan. Pengarah Jabatan Pembangunan Semula Pascabencana tabung itu, Wang Jun berkata, "Tabung kami akan mewujudkan koperasi di kampung tersebut. Wang bantuan kepada penduduk disimpan dalam koperasi tersebut. Orang yang hendak menggunakan wang tersebut untuk menguruskan syarikat perlu menyertai tender. Keuntungan daripada pengurusan syarikat-syarikat tersebut akan dibahagikan kepada penduduk yang terbabit."

Projek percubaan pembangunan semula pascabencana sesi kedua dan ketiga akan dimulakan tidak lama lagi. Penduduk miskin di kawasan yang terlibat akan memiliki sumber pendapatan yang stabil melalui pemulihan dan pembangunan sektor penanaman, penternakan, pemprosesan dan pelancongan. Pegawai Dewan Negara menyatakan, kerajaan akan menyebarkan pengalaman mereka yang berjaya dalam proses pelaksanaan projek percubaan tersebut kepada lebih 4800 buah kampung miskin di Sichuan, Gansu dan Shaaxi, agar dapat memberi faedah kepada kaum tani di kawasan-kawasan tersebut.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China