Cari:
Wawancara dengan Tang Wensheng, Penterjemah Pemimpin Negara yang Menyaksikan Penjalinan Diplomatik China-Malaysia
2009-06-03 18:15:57 CRI Cetak

Hubungan China-Malaysia membuka lembaran baru sejarah apabila kerajaan kedua-dua negara mengisytiharkan penjalinan hubungan diplomatik pada 31 Mei tahun 1974. Kini, setelah 35 tahun berlalu, terjalinnya hubungan mesra China-Malaysia amat dirasai oleh Puan Tang Wensheng, salah seorang yang menyaksikan sendiri proses jalinan hubungan China-Malaysia. Beliau menghimbau kembali kenangan 35 tahun yang lalu kepada wartawan CRI dalam satu temu bual dengannya.


Puan Tang Wensheng

Lawatan Tun Abdul Razak Membuka Sejarah Baru Hubungan China-Malaysia

Pada tahun-tahun 1970-an, Tang Wensheng yang berkhidmat di Kementerian Luar China bertugas sebagai penterjemah kepada mantan Pengerusi Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Mendiang Mao Zedong dan mantan Perdana Menteri, Mendiang Zhou Enlai. Beliau yang mahir berbahasa Inggeris kerap kali bertugas sebagai penterjemah dalam pertemuan dan rundingan antara pemimpin China dengan pemimpin luar negara. Walau bagaimanapun, menurut Puan Tang Wensheng, pengalaman ketika bertugas sebagai penterjemah untuk menerima kunjungan Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak pada tahun 1974 tetap meninggalkan ingatan yang amat mendalam kepada beliau. Puan Tang Wensheng berkata: "Lawatan Tun Abdul Razak ke China pada tahun 1974 mempunyai erti yang amat penting kerana Malaysia merupakan negara anggota ASEAN pertama yang ingin menjalinkan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China. Hasrat beliau mengadakan lawatan ke China bertujuan mencapai persepakatan dan menghapuskan perselisihan pendapat dengan kerajaan China tentang beberapa isu yang menjadi kepentingan bersama, agar kedua-dua negara dapat menjalinkan hubungan diplomatik."

Menurut Puan Tang, pertemuan antara, Mao Zedong dengan Tun Abdul Razak diadakan dalam suasana penuh mesra. Kedua-dua pemimpin membentangkan pendirian masing-masing dan mengadakan perbincangan dengan sikap yang tulus ikhlas.

Penjalinan Diplomatik China-Malaysia Mendapat Perhatian Perdana Menteri, Zhou Enlai

Lawatan Tun Abdul Razak ke China dan usaha menjalin hubungan diplomatik China-Malaysia mendapat perhatian Perdana Menteri, Zhou Enlai. Beliau yang menderita penyakit kanser yang kronik pada masa itu dinasihatkan berehat dan membiarkan hal ehwal jalinan diplomatik dengan Malaysia dikendalikan oleh timbalannya, namun beliau tetap menyertai rundingan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia dan menguruskan sendiri butir-butir hubungan diplomatik kedua-dua negara.


Perdana Menteri China, Zhou Enlai mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Tun Abdul Razak di Beijing pada Mei, 1974.

Puan Tang Wensheng berkata: "Rundingan dengan Tun Abdul Razak yang diadakan pada akhir bulan Mei tahun 1974 merupakan rundingan terakhir bagi Perdana Menteri, Zhou Enlai dengan pemimpin asing di Dewan Besar Rakyat. Selepas rundingan itu, Zhou Enlai memanggil semua pegawai yang bertanggungjawab ke atas urusan hubungan diplomatik dengan Malaysia ke suatu majlis taklimat. Selepas menyampaikan pesanannya kepada pegawai-pegawai berkenaan, barulah beliau bersedia dibawa ke hospital. Selepas itu, beliau menjalani rawatan berterusan di hosiptal sehingga meninggal dunia pada tahun 1976."

Ketika memegang kembali peristiwa tersebut, Puan Tang yang bertugas sebagai penterjemah bagi rundingan antara pemimpin kedua-dua negara memberitahu wartawan: "Sebelum rundingan itu, seorang doktor memberitahu saya bahawa Perdana Menteri, Zhou Enlai kurang sihat pada masa itu. Maka, jika didapati mukanya menjadi pucat atau berpeluh terlalu banyak dalam mesyuarat itu, saya diminta segera menekan loceng kecemasan yang dipasang di sebelah saya, bagi tindakan segera ahli perubatan yang diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di luar bilik mesyuarat."

Menurut Puan Tang, selepas rundingan itu, barulah beliau diberitahu bahawa Zhou Enlai menderita akibat penyakit canser. Sebab itu, persediaan itu dibuat kerana doktor bimbang sebarang kemungkinan boleh terjadi kepada Zhou Enlai dalam rundingan tersebut.


Puan Tang Wensheng diwawancara oleh wartawan CRI

Rasa Persahabatan Ayah-Anak kepada China

Menurut Puan Tang Wensheng, hubungan diplomatik China-Malaysia terjalin hasil usaha bersama pemimpin veteran kedua-dua negara yang berpandangan jauh. Kemudian, hubungan dua hala dan rasa persahabatan ini telah ditingkatkan dari semasa ke semasa melalui usaha pemimpin generasi selanjutnya.

Pada tahun 2005, anak sulung Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib yang menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu mengadakan lawatan ke China. Beliau menyatakan harapan kepada Kementerian Luar China supaya daapt bertemu dengan pegawai-pegawai China yang bertugas semasa menerima kunjungan ayahnya ke China pada tahun 1974. Harapan Datuk Seri Najib menjadi kenyataan dalam tempoh lawatannya ke Beijing apabila beliau bertemu dengan beberapa orang diplomat veteran China yang pernah mengendalikan urusan hubungan diplomatik China-Malaysia, ini termasuk Puan Tang Wensheng yang bertugas sebagai penterjemah untuk lawatan Tun Abdul Razak.

Selepas diberitahu Puan Tang belum pernah berkunjung ke Malaysia, Datuk Seri Najib segera mengundang beliau dan diplomat veteran China yang lain untuk melawat Malaysia. Puan Tang berkata, beliau fikir lawatan itu tidak akan menjadi kenyataan kerana Datuk Seri Najib begitu sibuk sehingga terlupa perkara itu. Bagaimanapun, perkara yang di luar sangkaan Puan Tang itu berlaku. Beliau betul-betul menerima undangan daripada pihak berkuasa Malaysia untuk melawat negara itu. Pada tahun 2006. Puan Tang dan beberapa diplomat veteran China telah melawat beberapa tempat di Malaysia, seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka.

Ketika mengimbas kembali lawatan ke Malaysia, Puan Tang Wensheng berkata: "Saya merasa amat terharu melihat rasa persahabatan Tun Abdul Razak dengan China kini diwarisi oleh anaknya, Datuk Seri Najib. Kami juga diundang makan bersama dengan beliau di kediamannya di Puterajaya. Yang turut hadir dalam jamuan itu termasuk pegawai veteran yang bertugas dalam pentadbiran Tun Abdul Razak. Semua mereka sentiasa memberi perhatian kepada perkembangan hubungan China-Malaysia."

Oleh itu, Puan Tang Wensheng yakin bahawa hubungan China-Malaysia akan terus berkembang dengan baik dan memberi manfaat yang semakin besar kepada kedua-dua pihak. Kata beliau: "Hubungan dan interaksi antara China dengan Malaysia menjadi semakin erat sejak terjalinnya hubungan kedua-dua negara 35 tahun yang lalu. Peningkatan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang seperti politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan telah memberi manfaat yang amat besar kepada rakyat kedua-dua negara. Saya yakin, rasa persahabatan antara rakyat kedua-dua negara akan terus meningkat dan perkembangan hubungan akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa depan."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China