Malaysia dan China menikmati hubungan dua hala yang erat dan mesra. Kerjasama dua hala dalam sektor perdagangan, pelaburan, pelajaran, pelancongan, sains dan teknologi telah mencapai kemajuan yang mengagumkan pada beberapa tahun yang lepas.
Duta Besar Malaysia ke China, Dato' Syed Norulzaman bin Syed Kamarulzaman
Duta Besar Malaysia ke China, Dato' Syed Norulzaman bin Syed Kamarulzaman berkata demikian dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Siaran Bahasa Melayu Radio Antarabangsa China (CRI) di Beijing hari Selasa.
"Saya berharap agar kerjasama yang terjalin antara Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dengan CRI akan berterusan dan dieratkan lagi pada tahun-tahun akan datang. Kami sedar, dengan pengaruh yang dimiliki oleh CRI, usaha mengukuhkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan China ini akan menjadi lebih mudah dan berkesan," kata Dato' Syed Norulzaman ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Duta Besar Brunei Darussalam ke China, Puan Magdalene Teo, Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Republik Singapura di Beijing, Puan Foo Teow Lee dan Presiden CRI, Encik Wang Gengnian.
Presiden CRI, Encik Wang Gengnian
"Mengimbas kembali perjalanan yang kami lalui 50 tahun yang lalu, siaran bahasa Melayu CRI telah mencapai hasil yang cukup memberangsangkan," kata Encik Wang Gengnian.
Beliau berharap agar semua staf Bahagian Bahasa Melayu CRI terus berusaha untuk menghasilkan program yang lebih menarik demi menyumbang kepada peningkatan pertukaran kebudayaan dan kerjasama antara China dengan negara-negara Asia Tenggara.
Encik Wang Gengnian, Dato' Syed Norulzaman, Puan Magdalene Teo (kiri), Puan Foo Teow Lee (kanan) menyempurnakan acara memetong kek hari jadi ke-50 siaran bahasa Melayu CRI.
CRI yang ditubuhkan pada bulan Disember 1941 merupakan satu-satunya stesen radio kerajaan China yang menyiarkan rancangan ke seluruh dunia, dan salah satu matlamat besarnya ialah meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara China dengan negara-negara lain di dunia.
Pada 1 Mac 1959, CRI memancarkan siarannya dalam bahasa Melayu buat pertama kali ke udara. Siaran ini boleh didengar di Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura, sebahagian kawasan di Indonesia dan selatan Thailand.