Rusuhan berlaku di Urumqi, ibu kota Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang malam semalam. Setakat hari ini, rusuhan tersebut telah mengakibatkan 140 orang terkorban dan 828 yang lain cedera. Selepas peristiwa tersebut berlaku, kerajaan tempatan segera menghantar polis dan kini, sudah berjaya mengawal situasi di sana. Sekarang, pengangkutan dan tatatertib tempatan sudah pulih kembali. Pakar yang berkenaan menyatakan bahawa peristiwa ini merupakan jenayah berat yang diarahkan dan dihasut oleh pihak luar, tetapi dilakukan oleh pihak dalaman. Perbuatan berniat jahat ini tidak akan memberikan kesan negatif terhadap perpaduan pelbagai etnik dan situasi masyarakat yang harmoni di Xinjiang.
Pada tengah hari tadi, kerajaan tempatan mengadakan sidang akhbar untuk memaklumkan keadaan yang berkaitan dengan rusuhan tersebut. Selepas rusuhan tersebut berlaku, pihak kerajaan segera menghantar polis untuk menangani peristiwa itu, dan menangkap penjenayah yang terlibat dalam rusuhan tersebut. Pada masa yang sama, mereka juga menghantar ambulans dan jururawat untuk membawa mangsa yang cedera ke hospital. Bermula pada tengah malam tadi, Stesen Televisyen Xinjiang juga menyiarkan ucapan Presiden Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, Nur Bekir dengan bahasa Uygur dan bahasa Mandarin secara berterusan. Beliau mengesahkan kebenaran peristiwa itu, dan menyeru rakyat yang tidak mengetahui kebenarannya agar tidak digunakan oleh kumpulan yang berniat jahat.
Selain mengakibatkan kematian dan kecederaan, penjenayah juga dikatakan telah merosakkan dan membakar lebih 260 buah kereta. Sebanyak 203 buah kedai dan 14 buah rumah penduduk awam juga telah rosak.
Badan keselamatan awam Xinjiang mengesahkan bahawa rusuhan itu adalah hasil hasutan, dirancang dan diarahkan oleh Kongres Uygur Dunia (WUC) yang diketuai oleh kumpulan pemisah Rebiya Kadeer dengan menggunakan satu kes keselamatan awam yang berlaku di bandar Shaoguan, Provinsi Guangdong, bahagian selatan China baru-baru ini.
Pada 26 Jun lalu, pergaduhan berkumpulan berlaku antara pekerja Xinjiang dengan pekerja tempatan di bandar Shaoguan. Ini merupakan kes keselamatan awam yang biasa dan telah ditangani dengan baik. Namun, pihak luar termasuk WUC telah menggunakan kes tersebut untuk memburuk-burukkan dasar etnik dan agama yang dilaksanakan di China, menghasut hingga berlaku tunjuk perasaan.
Walaupun peristiwa di bandar Urumqi itu sudah berjaya ditangani, namun, ada orang tetap menghasut di laman sesawang, dan berniat untuk memburukkan situasi. Nur Bekir menyeru rakyat pelbagai etnik di Xinjiang agar dengan tegas melindungi perpaduan pelbagai etnik dan masyarakat yang harmoni.