Seminar Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN anjuran Majlis Perniagaan China-ASEAN telah diadakan di Beijing pada 26 Jun lalu. Seminar tersebut disertai oleh konsul perdagangan beberapa negara anggota ASEAN ke China, termasuk Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Laos. Para peserta seminar itu menyatakan hasrat untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN dan berusaha bersama-sama bagi menghadapi kegawatan ekonomi dunia.
Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) yang ditubuhkan oleh kedua-dua pihak 9 tahun lalu merupakan sebahagian daripada komponen penting dalam kerjasama antara China dengan negara-negara anggota ASEAN. Menurut jadual, Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN ini akan siap dibina pada tahun 2010, sekali gus menghapuskan tarif terhadap 90% jenis barangan dalam perdagangan antara kedua-dua pihak. Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN akan menjadi pasaran bersama yang ketiga terbesar di dunia dan juga kawasan perdagangan bebas yang mempunyai jumlah pengguna paling ramai di dunia, iaitu 1.9 bililon orang.
Ketua Setiausaha Sekretariat China CABC, Encik Xu Ningning semasa berucap dalam seminar itu telah menghuraikan kesan penubuhan CAFTA terhadap China dalam masa 9 tahun yang lalu. Kata beliau: "Kini, semakin banyak provinsi di China memberi perhatian terhadap kerjasama dengan negara anggota ASEAN. Beberapa provinsi seperti Guangdong, Hubei dan Shan'anxi telah menandatangani memorandum kerjasama dengan negara ASEAN dalam tempoh setahun yang lalu. Selain itu, kerjasama antara China dengan ASEAN telah dilakukan secara menyeluruh dan meliputi bidang yang semakin meluas, seperti bidang pengangkutan, sumber tenaga, pendidikan dan kebudayaan. "
Kini, China merupakan rakan dagang keempat terbesar bagi Malaysia. Jumlah perdagangan antara kedua-dua buah negara mencatat 39.1 bilion dolar Amerika pada tahun lepas. Di samping itu, China merupakan pasaran luar negeri yang keempat terbesar bagi Malaysia. Kini, jumlah import-eksport produk elektronik yang merupakan sebahagian komponen penting dalam perdagangan China-Malaysia mengalami kemerosotan akibat kesan krisis kewangan global. Hal ini turut memberi kesan secara langsung kepada jumlah perdagangan dua hala bagi suku tahun pertama tahun ini. Penolong Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia ke China, Chong Yun Jang berkata, "Pada suku tahun pertama tahun ini, jumlah perdagangan Malaysia-China mencatat 6.877 bilion dolar Amerika, menurun 23% berbanding masa yang sama tahun lepas."
Menurut Chong Yun Jang, Malaysia berharap lebih banyak syarikat China melabur di negara itu dalam bidang industri pembuatan, sektor alat ganti kereta, peralatan perubatan, industri kimia, makanan halal dan sektor sumber tenaga yang boleh dibaharui.
Ketua Setiausaha Sekretariat China CABC, Encik Xu Ningning memaklumkan dalam seminar itu, sebagai satu langkah bagi menggalakkan syarikat domestik melabur di rantau ASEAN, pihaknya akan mengadakan program pemilihan "10 Syarikat yang Berjaya Melabur di ASEAN" pada tahun ini.
Pada tahun lalu, jumlah perdagangan China-Laos mencatat kadar peningkatan yang paling tinggi dalam perdagangan antara China dengan 10 buah negara ASEAN, iaitu kadar peningkatan 59% dengan mencatat jumlah 417 juta dolar Amerika. Konsul Perdagangan Laos ke China, Sibounheuang Vienheuangphay berkata, Laos menyasarkan jumlah perdagangan dua hala dengan China sebanyak 600 juta dolar Amerika pada tahun ini. Beliau juga memandang positif penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN terhadap pembangunan negara itu. Kata beliau: "Kita perlu mempergiat kerjasama secara menyeluruh terutama dalam bidang pelaburan. Dalam konteks ini, langkah dalam pelbagai cara boleh diambil seperti mengadakan forum, seminar dan ekspo yang disertai oleh pakar dan sarjana yang berwibawa. Saya yakin akan kegiatan perdagangan yang dilakukan secara bebas akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Sementara itu, Forum Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN anjuran Kementerian Perdagangan China akan diadakan di Yantai, provinsi Shandong pada bulan Julai. Forum tersebut akan disertai oleh pegawai kerajaan dan tokoh-tokoh perniagaan dari China dan 10 negara anggota ASEAN.