Cari:
Kerja Persiapan Ekspo China-ASEAN Ke-6 Berjalan Lancar
2009-07-22 17:14:13 CRI Cetak

Ekspo China-ASEAN Ke-6 akan diadakan di Nanning, ibu kota wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China pada 20 hingga 24 Oktober tahun ini.

Ekspo China-ASEAN ini diadakan atas anjuran Perdana Menteri China, Wen Jiabao. Ia dianjurkan bersama oleh Kementerian Perdagangan China dan badan perdagangan 10 buah negara ASEAN serta Jabatan Sekretariat ASEAN. Tujuan ekspo China-ASEAN ini diadakan, terutamanya untuk mempererat penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN dan memperluas ruang kerjasama demi pembangunan bersama. Ekspo ini meliputi tiga aspek utama, iaitu perdagangan barangan, kerjasama pelaburan dan perdagangan perkhidmatan. Pertama kali diadakan ialah pada tahun 2004 di bandar yang sama, iaitu Nanning, Guangxi China yang telah dipilih sebagai tempat penganjuran tetap bagi ekspo ini.

Pelbagai pendekatan dijangka akan diambil dalam Ekspo China-ASEAN Ke-6 ini untuk membantu syarikat kedua-dua pihak dalam menghadapi krisis kewangan. Naib Ketua Setiausaha Sekretariat Ekspo China-ASEAN, Encik Nong Rong memaklumkan: "Tempoh ekspo akan dilanjutkan kepada 5 hari, daripada 4 hari sebelum ini. Di samping itu, gerai pameran akan ditambah kepada 4,000 buah, dan ditawarkan pula pameran khas produk pertanian dan pameran kewangan."

Kini, China dan negara-negara ASEAN sedang bekerjasama dengan bersungguh-sungguh untuk membuat persiapan bagi menjayakan Ekspo China-ASEAN ini. Encik Nong Rong yakin bahawa Ekspo China-ASEAN Ke-6 ini akan diadakan dengan jayanya. Kata beliau: "Berdasarkan reputasi penganjurannya yang baik sebelum ini, lebih banyak syarikat dijangka akan menyertai Ekspo China-ASEAN pada tahun ini. Saya yakin Ekspo China-ASEAN Ke-6 akan mencapai kejayaan yang lebih memuaskan dalam memperluas ruang kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pihak."

Kini, 10 bidang dipilih sebagai tumpuan kerjasama antara China dengan negara ASEAN, iaitu industri pertanian, maklumat pembangunan tenaga manusia, pelaburan, kerjasama di kawasan lembah Sungai Mekong, pengangkutan, sumber tenaga, kebudayaan, pelancongan dan kesihatan awam seperti yang dilakukan sejak penganjuran Ekspo China-ASEAN Ke-4 pada tahun 2007, satu daripada 10 bidang ini akan dipilih menjadi fokus utama untuk dipromosi dalam ekspo ini nanti, melalui pameran khas atau forum yang disertai oleh pegawai kerajaan dan pakar berkenaan. Ketika menyebut tentang "kerjasama antara kastam dengan syarikat" yang ditetapkan sebagai fokus utama dalam Ekspo China-ASEAN pada tahun ini, Encik Nong Rong berkata: "Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN dijangka akan siap dibina pada tahun 2010. Dengan ini, tarif bagi lebih 90% barangan dalam perdagangan dua hala antara China-ASEAN akan dibatalkan. Kegiatan pelaburan dan perdagangan perkhidmatan antara satu sama lain juga akan dimudahkan. Oleh yang demikian, 'kerjasama antara kastam dengan syarikat' yang dipilih sebagai fokus utama dalam ekspo kali ini akan membantu kastam bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih sempurna dan memudahkan urusan syarikat kedua-dua pihak, sehingga dapat merancakkan lagi kegiatan ekonomi dan perdagangan serantau."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China