Sejak Perjanjian Rangka Kerjasama Ekonomi secara Menyeluruh China-ASEAN yang ditandatangani oleh pemimpin kedua-dua pihak pada 2002, hubungan China-ASEAN dalam ekonomi dan perdagangan memasuki tempoh perkembangan yang pesat. Jumlah perdagangan dua hala meningkat kepada 231.1 bilion dolar Amerika pada tahun 2008 daripada hanya 54.8 bilion dolar sahaja pada tahun 2002. Angka ini menjadikan China dan ASEAN sebagai rakan dagang keempat terbesar bagi satu sama lain. Ketika ditemubual oleh wartawan CRi baru-baru ini, Ketua Setiausaha Sekretariat China Majlis Perniagaan China-ASEAN, Encik Xu Ningning berkata, kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN diadakan berdasarkan prinsip saling menguntungkan. Ia bukan sahaja membantu menjelaskan kepentingan bersama kedua-dua pihak, tetapi juga berfaedah bagi menerajui perkembangan ekonomi serantau, dan meningkatkan kemampuan negara-negara berkenaan dalam menangani krisis kewangan semasa.
Ketika mengimbas kembali proses penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN beberapa tahun lalu, Xu Ningning memaklumkan, China dan negara anggota ASEAN mula menurunkan kadar tarif antara satu sama lain dengan skop yang besar sejak terlaksananya Perjanjian Perdagangan Barang pada tahun 2005. Hingga sekarang, tarif purata antara China dengan negara anggota ASEAN telah menurun kepada 2.4%. Menurut persepakatan yang telah dicapai, kedua-dua pihak akan menghapuskan tarif terhadap lebih 90% produk dalam perdagangan dua hala mulai tahun depan. Beliau berkata, tindakan China dan ASEAN saling membuka pasaran boleh membantu menangani krisis kewangan semasa dan merangsang pertumbuhan ekonomi serantau. Kata beliau: "Kerjasama antara China dengan negara ASEAN dalam mengatasi krisis kewangan Asia pada tahun 1997 membuktikan bahawa kerjasama merupakan pilihan yang paling bijak demi pembangunan kedua-dua pihak. Pembangunan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN bukan hanya dalam membuka pasaran sahaja, malah bagi mewujudkan kerjasama yang lebih erat. Kedua-dua pihak dapat saling melengkapi dalam bidang penyusunan semula susunan industri untuk meningkatkan daya saing produk mereka dalam pasaran antarabangsa."
Kini, kelembapan ekonomi global dan kemerosotan pasaran perdagangan antarabangsa memberikan kesan negatif terhadap perdagangan China-ASEAN. Menurut statistik, jumlah perdagangan China-ASEAN pada setengah tahun pertama tahun ini mencatat 88 bilion dolar Amerika, menurun 23.8% berbanding dengan masa yang sama tahun lalu. Menurut Xu Ningning, hal ini juga mencerminkan perdagangan kedua-dua pihak terlalu tertumpu kepada produk elektronik. Maka, kedua-dua pihak perlu mempelbagaikan jenis produk bagi perdagangan antara satu sama lain, khususnya mempercepat kerjasama dalam perdagangan perkhidmatan. Kata beliau: "China dan ASEAN saling membuka pasaran perkhidmatan sejak 1 Julai tahun 2007. Ini memberikan peluang kepada korporat syarikat kedua-dua pihak untuk meneroka pasaran dan bekerjasama dalam bidang-bidang seperti perkhidmatan kewangan, kaunseling, pelancongan, pendidikan dan logistik. Kerjasama dalam perdagangan perkhidmatan mempunyai potensi yang besar kerana kadarnya masih rendah daripada perdagangan dua hala."
Mengenai perkembangan terkini dalam pelaburan dua hala, Xu Ningning menghuraikan jumlah pelaburan China ke rantau ASEAN meningkat pesat beberapa tahun lalu, dengan mencatat 2.18 bilion dolar Amerika pada tahun 2008, meningkat 124% berbanding dengan tahun 2007. Program pelaburan korporat China di negara ASEAN kini meliputi pelbagai bidang seperti industri pertanian, pembuatan dan perkhidmatan. Xu Ningning berkata: "Semakin banyak korporat China memandang baik prospek pelaburan di negara ASEAN. Kini, kerajaan China melaksanakan siri pendekatan bagi menggalakkan syarikat domestik melabur di negara ASEAN, termasuk menubuhkan Tabung Kerjasama Pelaburan China-ASEAN yang bernilai 10 bilion dolar Amerika dan menggalakkan syarikat China menubuhkan zon pembangunan di negara ASEAN. Selain itu, Perjanjian Pelaburan China-ASEAN yang akan ditandatangani tidak lama lagi juga akan meningkatkan usaha pelaburan syarikat China di rantau ASEAN."