Walaupun pendidikan vokasional di China bermula lebih awal, tetapi ia kurang diberi perhatian dalam jangka panjang. Salah satu sebab utama terjadi demikian kerana ramai ibu bapa yang sikap berpegang kepada konsep pendidikan. Mereka menganggap anak mereka perlu meneruskan pelajaran di sekolah tinggi kerana pengajian peringkat tinggi mempunyai masa depan yang cerah.
Namun, pada tahun kebelakangan ini, dengan peluang pekerjaan bagi pekerja teknikal semakin bertambah dan sokongan kuat kerajaan terhadap pendidikan vokasional, semakin ramai pelajar yang mahu mengikuti pendidikan vokasional, dengan harapan berkembang menjadi juruteknik kanan.
Seorang pelajar lelaki dari bandar Suzhou, Zhang Jia, 17 tahun mengambil peperiksaan untuk meneruskan pelajaran di sekolah menengah tinggi. Walaupun mendapat keputusan yang amat baik, tetapi beliau memutuskan untuk meneruskan pelajarannya selama lima tahun di Institut Teknikal dan Vokasional. Katanya,
"Jika saya meneruskan pelajaran di sekolah menengah tinggi tetapi gagal ke universiti nanti, saya juga akan memilih keinstitut seperti ini, jadi ini membazirkan masa."
Salah satu sebab utama ramai pelajar China memilih untuk mengikuti pendidikan vokasional kerana lulusannya senang mendapat pekerjaan. Menurut statistik, lulusan sekolah menengah vokasional China pada tahun 2008 mencatat 5,891,500 orang, dan daripada jumlah itu 5,642,400 orang mendapat kerja. Kadar pekerjaan purata mencapai 95.77%. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding dengan siswazah universiti.
Selain itu, perkembangan ekonomi China yang pesat menggalakkan syarikat-syarikat giat meningkatkan nilai teknologi sedangkan pekerja yang mempunyai kemahiran tinggi amat kurang. Misalnya, dalam sektor industri pembuatan China, teknik kawalan digital yang moden mulai digunakan, tetapi pekerja yang mahir menggunakan peralatan mesin kawalan digital amat berkurangan. Syarikat sukar mendapat juruteknik yang sesuai walaupun mereka menawarkan gaji sebanyak 100 ribu yuan RMB setahun. Walau bagaimanapun, keadaan ini juga menyediakan peluang perkembangan yang baru bagi pendidikan vokasional. Seorang profesor madya dari Institut Pengajian Pendidikan Teknikal dan Vokasional Universiti Perguruan Beijing, He Zhen berkata,
"Pendidikan vokasional melatih sumber tenaga profesional, yang bijak menggunakan teori dan teknik yang dipelajari dalam pekerjaan."
Kerajaan China sering meningkatkan sokongan terhadap pendidikan vokasional. Dalam Undang-undang Pendidikan Vokasional Republik Rakyat China yang berkuatkuasa pada tahun 1996, pendidikan vokasional telah ditetapkan kedudukannya yang penting buat kali pertama menerusi undang-undang. Di samping itu, kerajaan China memperuntukan dana untuk mengembangkan pendidikan vokasional. Pada tahun 2008, lebih 3 bilion yuan RMB diperuntukkan dalam pembinaan kemudahan asas pendidikan vokasional dan jumlah pengambilan pelajar bagi sekolah menengah vokasional mencecah 8.1 juta orang setiap tahun. Kini, lebih 20 juta orang pelajar sedang menerima pendidikan di sekolah tersebut.
China sedang berada dalam tempoh yang penting bagi menyusun semula struktur ekonomi dan taraf teknologi dipertingkatkan dengan pesat. Ini merupakan peluang yang baik bagi mengembangkan pendidikan vokasional di China.








