Pingxiang, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi terletak berhampiran sempadan dengan Vietnam. Jarak antara bandar Pingxiang dengan ibu kota provinsi Lang Son, Vietnam hanya 32 kilometer sahaja, dan 176 kilometer dengan Hanoi. Kerana kedudukan itu bandar tersebut kini berperanan penting dalam perkembangan perhubungan antara China dengan ASEAN.
Bandar Pingxiang, salah satu destinasi dalam "Jalan Sutera Selatan" menjadi pusat perdagangan antara China dengan Vietnam sejak sekian lama. Pada tahun 1992, Pingxiang dipilih sebagai bandar sempadan untuk dibuka kepada dunia luar. Ekonomi dan usaha perdagangan Pingxiang kemudian mengalami perkembangan yang pesat dengan pelaksanaan dasar keutamaan oleh kerajaan pusat. Pada setengah tahun pertama tahun ini, jumlah perdagangan luar yang dicatatkan di bandar itu melebihi 5.6 bilion Yuan RMB. Datuk Bandar Pingxiang, Liao Yincan memberitahu wartawan: "Pingxiang merealisasikan perkembangan ekonomi yang pesat berdasarkan kelebihan sebagai bandar sempadan. Di sini terdapat dua pintu keluar masuk klas A, iaitu Lintasan Youyi dan pintu keluar masuk di stesen kereta api. Sekarang, empat buah pasar raya diwujudkan bagi urusan perdagangan antara penduduk kedua-dua negara. Dianggarkan, 730 ribu orang memasuki sempadan melalui pintu masuk di Lintasan Youyi pada tahun lepas."
Lebuh raya yang menghubungkan bandar Nanning, ibu kota Guangxi dengan Lintasan Youyi beroperasi pada 28 Disember tahun 2005. Ia merupakan lebuh raya pertama di China yang berhubung dengan negara ASEAN. Dengan beroperasinya lebuh raya itu telah memudahkan lagi kegiatan perdagangan antara China dengan Vietnam, malah dengan negara ASEAN yang lain. Pada tahun 2008, kira-kira 800 buah kenderaan kedua-dua belah pihak melalui pintu masuk di Lintasan Youyi dalam masa sehari. Datuk Bandar Liao Yincan berkata: "Kereta dari pelbagai tempat boleh didapati di Pingxiang, malah dari Tibet. Ini mencerminkan bahawa ia laluan yang paling mudah untuk ke Vietnam dan negara ASEAN yang lain."
Lintasan Youyi
Operasi lebuh raya Nanning-Lintasan Youyi telah mengurangkan masa perjalanan dari Nanning ke Hanoi. Selain itu, jabatan kastam di pintu masuk Lintasan Youyi yang kini melengkapi dengan teknologi maklumat telah memudahkan prosedur kemasukan dan mengurangkan masa menunggu masuk melintasi sempadan.
Mantan Duta Besar China ke Vietnam, Encik Qi Jianguo ketika diwawancara oleh wartawan CRI berkata: "Bandar Pingxiang bukan sahaja berperanan penting dalam perdagangan sempadan China-Vietnam, tetapi juga menjadi laluan yang paling dekat dan mudah yang menghubungkan China dengan negara ASEAN. Pentingnya kedudukan bandar Pingxiang boleh dilihat dengan lebih jelas selepas tertubuhnya Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN nanti."