Cari:
Presiden Laos: Hubungan Laos-China Meningkat ke Tahap yang Baru
2009-09-23 15:58:40 CRI Cetak

Presiden Laos, Choummaly Sayasone telah membuat lawatan selama 8 hari ke China bermula 6 September lalu. Dalam rundingan yang diadakan bersama Presiden China, Hu Jintao di Beijing pada 9 September, pemimpin kedua-dua negara itu bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap rakan kerjasama strategik secara menyeluruh. Ketika ditemubual oleh wartawan CRI, Presiden Laos Choummaly Sayasone menyatakan penghargaan yang tinggi terhadap hasil-hasil yang dicapai dalam rundingan tersebut dan berharap Laos, ASEAN dan China mencapai pembangunan bersama. Kata beliau: "Kita dengan sukacita melihat hubungan Laos-China telah berkembang secara menyeluruh dan juga mencapai kemajuan yang semakin besar."

Ketika memberikan penghargaan terhadap perkembangan hubungan Laos-China dalam tempoh 3 tahun yang lalu, Choummaly Sayasone berkata, dari segi politik, pucuk pimpinan kedua-dua negara saling mempercayai dan aktif bekerjasama dalam menangani isu-isu antarabangsa; dari segi ekonomi pula, kedua-dua negara mempergiat kerjasama ekonomi dan perdagangan secara terus-menerus. Kini semakin banyak syarikat China membuat pelaburan dan berurus niaga di Laos. Perkembangan hubungan China-Laos yang cepat bukan sahaja memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, malah memberikan sumbangan kepada kerjasama dan pembangunan serantau. Choummaly Sayasone telah membuat lawatan ke China pada bulan Jun tahun 2006, sebaik sahaja beliau menyandang jawatan Presiden. Pada bulan November tahun yang sama, Presiden China, Hu Jintao pula membuat lawatan balas ke Laos. Menurut Choummaly Sayasone, meningkatnya hubungan Laos-China kepada tahap rakan kerjasama strategik secara menyeluruh mempunyai erti yang amat penting. Kata beliau: "Hubungan persahabatan antara kedua-dua negara kita terjalin sejak sekian lama. Kerajaan dan rakyat China telah memberikan sokongan dan bantuan yang amat besar kepada kami. Laos bersedia terus meningkatkan lagi hubungan dengan China memandangkan kedua-dua negara ini mempunyai cita-cita yang sama, dan juga berjiran baik. Pembentukan hubungan rakan kerjasama strategik secara menyeluruh antara China dan Laos mempunyai erti yang penting dari segi politik, dan juga penting bagi perkembangan sosioekonomi Laos."

Choummaly Sayasone berkata bahawa Laos sedang gigih berusaha untuk membasmi kemiskinan dan mencapai kejayaan yang memuaskan dalam hal itu. Menurut beliau, kini keluarga yang miskin telah turun kadarnya kepada 20% daripada 40% pada 5 tahun yang lepas. Sementara itu, jumlah pendapatan perkapita pula meningkat kepada 800 dolar Amerika setiap tahun daripada 500 dolar Amerika.

Presiden itu turut menyatakan penghargaan yang tinggi kepada Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN yang akan siap ditubuhkan pada 1 Januari tahun depan. Menurut beliau, China dan negara ASEAN sentiasa mengekalkan hubungan yang baik dalam politik dan ekonomi. Penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN merupakan satu lagi petanda penting kepada peningkatan kerjasama dan perpaduan antara satu sama lain. Hal ini akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak. Kata beliau: "Kita yakin bahawa penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas akan menguntungkan kedua-dua pihak. Dengan itu, entiti ekonomi yang besar di seluruh dunia akan memberikan keutamaan yang lebih dalam mengembangkan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan negara-negara di Asia Timur. Melibatkan diri dalam kawasan perdagangan bebas ini membantu Laos untuk memasuki pasaran barangan dan teknologi, dan memperoleh lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China