Kerjasama dalam bidang pengangkutan merupakan sebahagian daripada komponen penting dalam kerjasama ekonomi Pan Kawasan Teluk Beibu. Koridor ekonomi Nanning-Singapura kini menjadi tumpuan China dan negara-negara ASEAN bagi mempergiatkan kerjasama dalam bidang pengangkutan. Koridor berkenaan dianggap mempunyai erti yang penting bagi meneroka ruang kerjasama ekonomi Pan Kawasan Teluk Beibu, serta menyediakan syarat yang baik kepada penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN.
Koridor Ekonomi Singapura-Nanning itu bermula dari Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China hingga ke penghujung Semenanjung Malaysia. Ia melibatkan 7 buah negara serantau iaitu, China, Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia dan Singapura. Koridor Ekonomi Nanning-Singapura menumpukan perhatian terhadap kepada pembinaan infrastruktur pengangkutan, terutama landasan kereta api dan jalan raya. Ia menyasarkan matlamat bagi memudahkan perjalanan, logistik, pengedaran modal dan interaksi maklumat antara negara-negara berkenaan, supaya merancakkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang, seperti perdagangan, pelaburan, industri dan pelancongan. Ketua Setiausaha Majis Perniagaan China-ASEAN, Xu Ningning berkata: "Koridor ekonomi itu merentasi beberapa rakan kerjasama penting bagi China, iaitu Malaysia dan Thailand sebagai rakan perdagangan terbesar dan ketiga terbesar bagi China di rantau ASEAN; Vietnam yang memandang China sebagai rakan perdagangan yang terbesar baginya dan Kemboja yang memandang China sebagai pelabur asing yang terbesar. Negara yang terlibat dalam Koridor Ekonomi Singapura-Nanning mempunyai asas kerjasama yang kukuh kerana saling melengkapi dari segi geografi, industri dan sumber.
Vietnam, negara penting dalam kerjasama ekonomi Pan Kawasan Teluk Beibu kini menumpukan perhatian kepada penubuhan Koridor Ekonomi Singapura-Nanning. Naib Menteri Pengangkutan Vietnam, Le Manh Hung berkata: "Terdapat potensi yang besar dalam kerjasama pengangkutan antara negara-negara di Pan Kawasan Teluk Beibu, khususnya dalam pembinaan landasan kereta api dan jalan raya. Dengan wujudnya laluan pengangkutan kargo yang menghubungkan China dengan negara-negara di Semenanjung Indo-China boleh memberikan manfaat kepada negara ASEAN, termasuk Vietnam."
Perdagangan antara ASEAN dengan Kesatuan Eropah dan Amerika mengalami kejatuhan secara menyeluruh akibat krisis kewangan global. Namun, beberapa jenis produk negara ASEAN tetap dieksport ke China dalam jumlah yang besar, dan separuh daripadanya dihantar melalui laluan Koridor Ekonomi Singapura-Nanning. Menurut statistik, jumlah perdagangan antara China dengan ASEAN mencatat 231.1 bilion dolar Amerika pada tahun 2008, meningkat 13.9% berbanding dengan jumlah pada tahun 2007. Daripadanya, jumlah perdagangan antara China dengan negara-negara di Pan Kawasan Teluk Beibu mencatat 226.9 bilion dolar Amerika, iaitu 98.2% daripada jumlah keseluruhan perdagangan China-ASEAN.
Kesan krisis kewangan dirasai dengan ketara oleh beberapa negara ASEAN seperti Singapura, Malaysia dan Thailand yang ekonominya lebih bergantung kepada eksport. Oleh itu, kerjasama serantau dianggap amat penting pada masa sekarang ketika pasaran luar meleset dengan teruknya.
Ahli Penyelidik dari Institut Pengajian Asia Timur Universiti Kebangsaan Singapura, Zhang Yang berkata: "Banyak negara kini meningkatkan pelaburan terhadap pembinaan infrastruktur selepas berlakunya krisis kewangan. Ini merupakan peluang yang amat baik bagi kerjasama ekonomi Pan Teluk Beibu kerana dasar keutamaan dijangka diberikan terhadap pembinaan landasan kereta api dan jalan raya di kawasan serantau. Pembinaan infrastruktur di Koridor Ekonomi Singapura-Nanning akan dipercepatkan dengan sokongan kewangan kerajaan. Hal ini pasti akan merancakkan lagi perdagangan antara negara-negara yang terlibat.