(Gerai pameran Syarikat Industri Makanan Sabli Brunei)
Ekspo China-ASEAN Ke-6 telah diadakan di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang, Guangxi China dari 20 hingga 24 Oktober. Lebih 4000 gerai pameran tersedia dalam ekspo ini yang mempamerkan produk-produk dari China dan 10 negara ASEAN serta beberapa negara di rantau yang lain, seperti Jepun, Republik Korea dan Perancis. Enam buah negara ASEAN, iaitu Malaysia, Indonesia, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam antara yang mempunyai ruang pameran sendiri. Sementara itu, lebih 80 aktiviti telah diadakan alam Ekspo China-ASEAN Ke-6 bagi meneroka ruang kerjasama kedua-dua pihak dalam bidang pertanian dan perdagangan. Ini termasuk Pameran Industri Perniagaan dan Pameran Perkhidmatan Kewangan yang buat pertama kalinya ditawarkan dalam ekspo ini.
Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan ketika berucap dalam upacara perasmian Ekspo China-ASEAN Ke-6 berkata: "Meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan China mempunyai erti yang penting bagi ASEAN. Ekspo ini menyediakan peluang yang baik kepada kedua-dua pihak untuk mempergiat kerjasama dalam ekonomi, perdagangan dan pelaburan, sekali gus meneroka ruang kerjasama dalam pelbagai bidang yang lain."
Berbanding dengan Ekspo China-ASEAN pada tahun lepas, gerai pameran yang tersedia dalam ekspo kali ini bertambah lebih 600 buah, malah masa berlangsungnya ekspo juga dilanjutkan kepada 5 hari daripada 4 hari sebelum ini. Hal ini bertujuan untuk memenuhi permintaan syarikat-syarikat kedua-dua pihak demi memperoleh hasil yang lebih memuaskan dalam ekspo.
(Gerai pameran Syarikat Teccology Management Malaysia)
Ekspo China-ASEAN Ke-6 diadakan menjelang siapnya pembinaan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) pada tahun depan. Ketika itu, 90% produk yang diimport-eksport antara kedua-dua pihak ini akan menikmati status bebas tarif. CAFTA akan menjadi kawasan perdagangan bebas yang paling besar jumlah penggunanya, iaitu 1.9 bilion orang. Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN ini dianggap boleh meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pihak ke satu tahap yang lebih tinggi, sekali gus membantu China dan negara-negara ASEAN saling melengkapi dalam bidang bahan mentah dan teknologi dan meningkatkan daya saing produk mereka dalam pasaran antarabangsa. Oleh itu, Ekspo China-ASEAN pada tahun ini memfokuskan kepada topik "mendorong penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN dan bersama menikmati peluang kerjasama dan pembangunan."
Timbalan Ketua Pengarah MATRADE Malaysia, Dr. Wong Lai Sum ketika ditemubual oleh wartawan berkata, "Sebenarnya perdagangan antara Malaysia dengan China telah meningkat dua kali ganda untuk beberapa tahun kebelakangan. Saya yakin, dengan adanya CAFTA, perdagangan akan lebih meningkat lagi."
Dalam Ekspo China-ASEAN pada tahun ini, Malaysia antara negara ASEAN yang mempunyai ruangan pemeran sendiri. Dalam ruang pameran yang luasnya 2,900 meter persegi, sebanyak lebih 100 buah syarikat dari Malaysia mempamerkan produk mereka, antaranya makanan, automobil, peralatan, teknologi, barang kemas dan juga program kursus latihan. Sesetengah daripada syarikat tersebut sudah menyertai Ekspo China-ASEAN pada tahun-tahun sebelum ini.
Syarikat Tencology Management, sebuah syarikat Malaysia yang mengusahakan teknologi penjimatan sumber tenaga dan perlindungan alam sekitar, mempamerkan teknologi terkini mereka, iaitu teknologi menukar sisa makanan kepada baja. Ketua Pengurus syarikat itu, Encik Addy Md. Sabuan berkata, "Kami datang ke sini bertujuan untuk memberi pendedahan dan berkongsi pengalaman, di samping memperkembangkan pasaran produk kami. Ekspo ini merupakan peluang amat baik yang diberikan oleh kerajaan China kepada peniaga seperti kami."
Berbanding dengan produk-produk lain yang dipamerkan dalam eskpo seperti kenderaan dan peralatan, makanan ringan yang bercita rasa pelbagai negara ASEAN didapati mendapat sambutan yang lebih hangat kerana sesiapa saja berminat terhadapnya, terutama pengunjung dari China. Gerai pameran makanan ringan yang ditawarkan oleh beberapa syarikat negara ASEAN sentiasa dibanjiri oleh para pengunjung yang datang mencuba dan seterusnya membeli.
Syarikat Industri Makanan Sabli merupakan sebuah syarikat pembuatan makanan yang terkenal di Brunei Darussalam. Pengurus syarikat itu, Mohd Nooh Okmad ini merupakan kali keempat baginya menyertai Ekspo China-ASEAN. Beliau berkata, "Barang-barang yang kami bawa ke sini adalah masakan dalam tin dan juga 400 jenis species. Tujuan kami menyertai ekspo untuk mencari agensi yang akan menjual barang-barang kami ke China. Saya mendapati lebih ramai pengunjung datang ke ekspo ini berbanding tahun-tahun sebelum itu.
(Bandar Kuching dipilih untuk dipamerkan dalam Pameran Bandar Menarik)
Pameran yang bertemakan "Bandar Menarik" kekal diadakan dalam Ekspo China-ASEAN Ke-6 seperti tahun-tahun sebelum ini. Pameran itu bertujuan mempromosi bandar-bandar di China dan 10 buan negara ASEAN dalam bidang pelancongan dan pelaburan. Bandar Shenzhen, China dan Bandar Kuching, Malaysia dipilih untuk dipamerkan dalam pameran tersebut.
Selain daripada China dan negara-negara ASEAN, ekspo kali ini juga disertai oleh syarikat-syarikat dari beberapa negara di rantau lain seperti Perancis, Jepun, Korea dan Hungary. Selain itu, beberapa negara termasuk A.S., Perancis, Itali, Sepanyol dan Australia telah menghantar delegasi pembeli untuk menyertai ekspo.