Cari:
CAFTA Sediakan Peluang Baru untuk Peningkatan Hubungan Ekonomi dan Perdagangan China-ASEAN
2009-11-04 17:03:16 CRI Cetak

Ekspo China-ASEAN Ke-6 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN Ke-6 berakhir di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China pada minggu lepas. Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) menjadi tumpuan perhatian peserta kerana CAFTA ini akan siap dibina pada tahun depan. Bermula dari 1 Januari tahun depan, lebih 90% produk yang diurusniagakan antara kedua-dua pihak ini akan menikmati status bebas tarif. CAFTA akan menjadi kawasan perdagangan bebas yang paling besar jumlah penggunanya, iaitu 1.9 bilion orang dan kawasan perdagangan bebas yang terbesar antara negara-negara membangun.

Ketika berucap pada upacara perasmian Ekspo China-ASEAN Ke-6, Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan berkata: "Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN akan mempercepatkan lagi kerjasama perdagangan antara kedua-dua pihak, lebih-lebih lagi ia boleh mengurangkan kos urus niaga antara kedua-dua pihak. Kini ASEAN dan China boleh menumpukan perhatian terhadap usaha mendorong perdagangan bebas antara satu sama lain di samping membantu syarikat-syarikat serantau menikmati kemudahan berikutan siapnya pembinaan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN pada Januari tahun depan."

Kawasan tersebut dianggap boleh meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pihak ke satu tahap yang lebih tinggi, sekali gus membantu China dan negara-negara ASEAN saling melengkapi dalam penyediaan bahan mentah dan teknologi serta meningkatkan daya saing produk mereka dalam pasaran antarabangsa. Naib Perdana Menteri China, Li Keqiang ketika berucap pada upacara perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN Ke-6 berkata, China dan ASEAN seharusnya mengambil peluang daripada penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN ini untuk mempergiatkan lagi kerjasama ekonomi dan perdagangan agar memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih bermutu. Beliau turut mengemukakan cadangan tiga perkara dalam hal ini, iaitu: "Pertama, melaksanakan dengan bersungguh-sungguh tatacara yang telah dicapai oleh kedua-dua pihak dalam perdagangan kargo dan perdagangan perkhidmatan; kedua, meneroka ruang kerjasama dalam bidang pelaburan, terutama dalam pembinaan infrastruktur, industri pertanian dan projek yang berkaitan dengan kehidupan rakyat; ketiga, mempergiat kerjasama subkawasan antara China dengan negara-negara ASEAN. Dalam konteks ini, kerajaan China menggalakkan syarikat domestik mengambil bahagian dalam kerjasama di subkawasan Sungai Mekong Besar dan kerjasama di kawasan Teluk Beibu."

Malaysia merupakan rakan dagangan yang terbesar bagi China di kalangan negara ASEAN. Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah 53 bilion dolar Amerika pada tahun lepas. Dengan siapnya pembinaan CAFTA pada tahun depan, dijangka kegiatan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara ini akan dirancakkan lagi. Timbalan Ketua Pengarah MATRADE Malaysia, Dr. Wong Lai Sum ketika ditemubual oleh wartawan berkata, "Sebenarnya perdagangan antara Malaysia dengan China telah meningkat dua kali ganda untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Saya yakin, dengan adanya CAFTA, perdagangan akan lebih meningkat lagi."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China