Hubungan antara China dengan Indonesia telah memasuki satu tempoh perkembangan yang baru sejak beberapa tahun yang lalu, terutama dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Jumlah perdagangan antara China dengan Indonesia mencecah 31 bilion dolar Amerika pada tahun 2008, iaitu meningkat 25.7% berbanding dengan tahun 2007. Ketika ditemubual wartawan CRI, Menteri Perdagangan Indonesia, Puan Marie Elka Pengestu berkata, Ekspo Dunia yang akan diadakan di Shanghai pada tahun depan merupakan satu peluang yang baik bagi meningkatkan lagi hubungan persahabatan kedua-dua negara, dan meningkatkan prestasi Indonesia di arena antarabangsa.
Ekspo Dunia yang bertemakan "Bandar yang Lebih Baik Berikan Kehidupan yang Lebih Baik" akan diadakan di Shanghai, China dari bulan Mei hingga Oktober tahun depan. Tahun 2010 pula ialah ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik antara China dengan Indonesia. Puan Marie Elka Pengestu menegaskan, Indonesia akan aktif menyertai Ekspo Dunia tersebut dan mendirikan dewan pamerannya sendiri kerana ekspo itu merupakan peluang baik bagi Inonesia untuk mempromosi dan meningkatkan prestasinya di arena antarabangsa. Kata beliau: "Kami berharap aktiviti yang kami anjurkan semasa berlangsung Ekspo Dunia di China boleh membantu memperkenalkan adat resam dan kebudayaan Indonesia kepada penduduk seluruh dunia, sekali gus meningkatkan prestasi Indonesia. Ekspo Dunia ini disertai dengan aktif oleh pelbagai negara kerana ia adalah satu peluang untuk memperluaskan perdagangan, mengembangkan industri pelancongan dan menarik pelaburan asing. Pada umumnya, ekspo ini boleh diumpamakan sebagai satu usaha diplomasi dalam bidang kebudayaan yang boleh membantu meningkatkan prestasi bangsa Indonesia."
Menurut menteri itu, Indonesia juga akan mengadakan pelbagai aktiviti dalam Ekspo Dunia di Shanghai sebagai memperingati ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik dengan China. Kata beliau: "Presiden Susilo Bambang Yudhoyono akan menyertai Ekspo Dunia yang berlangsung di Shanghai yang bermula dari bulan Mei hingga Oktober tahun depan. Kami berharap Presiden, Hu Jintao juga akan bersama dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menghadiri aktiviti memperingati ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik kedua-dua negara. Pemimpin kedua-dua negara diharapkan berkesempatan mengadakan pertemuan rasmi ataupun rundingan mengenai kerjasama kebudayaan dan perdagangan."
Puan Marie Elka Pengestu menjelaskan, dewan pameran Indonesia memberi tumpuan kepada tema "bandar yang mengutamakan ekologi dan sifat kepelbagaian". Ia amat bersesuaian dengan tema utama Ekspo Dunia Shanghai, iaitu "Bandar yang Lebih Baik Berikan Kehidupan yang Lebih Baik". Beliau berkata: "Indonesia menampakkan kepelbagaian dalam kebudayaan, sumber alam dan pembangunannya. Oleh itu, kehidupaan di bandar-bandar kami pun bersifat sedemikian. Bandar akan menjadi lebih menarik jika ia bersifat kepelbagaian. Sebagai contoh, di bandar-bandar Indonesia, unsur-unsur tradisional boleh didapati, dan kemodenannya juga boleh nampak di sana. Ini merupakan hasil daripada sejarah yang panjang dan selaras dengan arus perkembangan zaman."