Perdana Menteri China, Wen Jiabao akan menghadiri Persidangan Copenhagen dan menyampaikan ucapan untuk membentangkan pendirian China dalam usaha menangani perubahan iklim dan mendorong kerjasama antarabangsa.
Naib Menteri Luar, Wang Guangya berkata di Beijing pagi tadi, kehadiran Wen Jiabao dalam Persidangan Copenhagen bakal menyuntik tenaga baru dalam rundingan antarabangsa mengenai perubahan iklim.
Kehadiran Wen Jiabao dalam Persidangan Copenhagen yang berlangsung dari 7 hingga 18 Disember atas undangan rakan sejawatnya dari Denmark, Lars Lokke Rasmussen.
Wang Guangya berkata, China berharap persidangan tersebut dapat menetapkan sasaran negara maju dalam fasa kedua untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Persidangan itu diharapkan melaksanakan mekanisme yang berkesan untuk memastikan negara maju menunaikan janji mereka untuk memberi sokongan dana dan teknologi kepada negara membangun. Selain itu, persidangan tersebut perlu mencapai persepakatan bahawa negara membangun akan mengambil tindakan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau menurut keadaan masing-masing di samping menjamin pembangunan berterusan.