Cari:
Prof. Xu Ningning: CAFTA Sediakan Peluang kepada Perkembangan Syarikat China-ASEAN
2009-12-16 16:16:01 CRI Cetak

Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) akan siap dibina secara menyeluruh pada 1 Januari tahun depan. Kawasan perdagangan bebas ini ditubuhkan oleh 10 negara anggota ASEAN dan China dan dengan demkian melibatkan seramai 1.9 bilion orang penduduk. Ketika ditemubual oleh wartawan CRI baru-baru ini, Setiausaha Kehormat Majlis Perniagaan China-ASEAN, Prof. Xu Ningning telah menghuraikan proses penubuhan CAFTA dan dasar-dasar yang berkaitan dengannya.

Menurut beliau, China dan ASEAN memulakan rundingan mengenai kawasan perdagangan bebas sejak tahun 2002. Kini, asas undang-undang bagi penubuhan CAFTA telah tersedia dengan tiga perjanjian utama yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak, iaitu "Perjanjian Perdagangan Kargo" yang ditandatangani pada tahun 2004, "Perjanjian Perdagangan Perkhidmatan" pada tahun 2007 dan "Perjanjian Pelaburan" pada tahun 2009.

Menurut Prof. Xu Ningning, CAFTA bakal memberikan lebih banyak peluang kepada syarikat kedua-dua pihak. Kata beliau: "Sebuah pasaran yang bersepadu akan dibentuk dengan tertubuhnya CAFTA. Syarikat kedua-dua pihak boleh diumpamakan sebagai 'pelakon utama' dalam pasaran tersebut. Tetapi, timbul persoalan, apakah kawasan perdagangan bebas ini akan terlaksana dengan jayanya? Jawapannya perlu dilihat daripada ama ada ia membantu atau tidak perkembangan syarikat kedua-dua pihak melalui kerjasama saling menguntungkan."

Ketika menghuraikan peluang dan cabaran yang akan diberikan selepas penubuhan CAFTA, Prof. Xu Ningning berkata, rantai industri yang baru akan diwujudkan dalam pasaran yang bersepadu ini berikutan tindakan membatalkan tarif oleh China dan negara anggota ASEAN. Oleh yang demikian, tokoh-tokoh industri dan dewan perdagangan kedua-dua pihak perlu bersama-sama meneliti kaedah kerjasama yang berdasarkan prinsip saling melengkapi, agar meningkatkan daya persaingan produk keluaran negara serantau di pasaran antarabangsa. Kata beliau: "Penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN bukan bermakna membuka pasaran sahaja. Ia sebenarnya bertujuan merapatkan hubungan kerjasama antara satu sama lain dan bersama-sama meneroka pasaran antarabangsa. Ia juga merupakan langkah bagi menghadapi kesan negatif daripada proses globalisasi ekonomi dan risiko krisis kewangan."

Kini, semakin banyak syarikat China memandang negara ASEAN sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi besar. Menurut statistik, jumlah pelaburan China di negara ASEAN pada tahun 2008 meningkat sebanyak 125% berbanding dengan tahun 2007. Antaranya, jumlah pelaburan China di Singapura meningkat lebih dua kali ganda. China kini merupakan pelabur yang terbesar bagi Myanmar, dan pelabur yang kedua terbesar bagi Laos. Walau bagaimanapun, menurut beliau, kebanyakan syarikat domestik tidak mengetahui dengan terperinci tentang CAFTA dan jadual pembukaan pasaran yang berkaitan. Kata beliau: "Satu hasil tinjauan menunjukkan bahawa 90% syarikat domestik tidak mengetahui tentang CAFTA kerana proses penubuhannya begitu cepat sehingga usaha mempromosinya tidak banyak dibuat. Oleh itu, ketika berucap dalam Sidang Kemuncak China-ASEAN pada 24 Oktober lalu, Perdana Menteri China, Wen Jiabao mengemukakan cadangannya bagi mempergiat usaha promosi terhadap dasar dan peraturan CAFTA."

Pada akhir temubual tersebut, Prof. Xu Ningning berkata, walaupun Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN merupakan satu konsep dari segi ekonomi, namun ia juga memerlukan kerjasama kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang yang lain seperti politik dan kebudayaan. Kata beliau: "Kedua-dua pihak perlu merapatkan kerjasama politik, terutama memperkukuh lagi hubungan rakan strategik. Selain itu, kedua-dua pihak diharapkan mempergiat kerjasama dalam bidang pendidikan, pelancongan dan media, agar menyediakan asas sosial yang baik kepada kerjasama ekonomi. Oleh itu, ada banyak usaha lagi perlu dilakukan bagi menjayakan CAFTA dan menjalin muafakat bestari. "

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China