Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) akan siap dibina pada 1 Januari tahun depan. Sebagai peristiwa yang penting dalam sejarah hubungan antara kedua-dua pihak, hal ini juga merupakan kemuncak perkembangan hubungan politik, ekonomi dan perdagangan, serta sosial dan budaya sejak kedua-dua pihak memulakan dialog pada tahun 1991.
ASEAN merupakan pertubuhan kerjasama serantau yang penting di kawasan Asia, dan memainkan peranan yang penting untuk melindungi kedamaian dan kestabilan, mewujudkan kemakmuran ekonomi, dan mendorong kerjasama di kawasan Asia Timur. Duta Besar China yang Pertama ke ASEAN, Puan Xue Hanqin, menyatakan bahawa kerjasama antara China dengan ASEAN agak lambat berbanding dengan kerajaan China dengan A.S., Jepun dan Republik Korea. Walau bagaimanapun, dalam tempoh 18 tahun yang lalu, hubungan kedua-dua pihak ini telah berkembang pesat, manakala hubungan yang saling mempercayai dalam bidang politik dan kerjasama dalam pelbagai bidang antara kedua-dua pihaknya juga terus meningkat. Semuanya itu telah menyediakan asas politik dan ekonomi yang baik bagi CAFTA yang akan siap dibina beberapa hari lagi.
"Hubungan China-ASEAN mencapai kemajuan yang besar dalam masa 18 tahun yang lalu. Pada masa tersebut, perkembangan hubungan antara kedua-dua pihak ini melalui tiga tahap. Pertama, penjalinan hubungan pada tahap dialog. Kedua, peningkatan hubungan saling mempercayai, serta hubungan jiran baik dan persahabatan. Dan, ketiga, peningkatan hubungan tersebut ke tahap hubungan rakan strategik. Walaupun terdapat tiga tahap, namun, perkembangan hubungan antara kedua-dua pihak ini berlangsung dengan lancar."
Puan Xue Hanqin berasa gembira kerana kedua-dua pihak mengekalkan aktiviti lawatan dan lawatan balas peringkat tinggi pada tahun lalu, walaupun seluruh dunia dilanda krisis kewangan. Selain itu, kedua-dua pihak juga telah berjaya menandatangani "Perjanjian Pelaburan", perjanjian terakhir dalam "Perjanjian Rangka Kerjasama Ekonomi China-ASEAN secara Menyeluruh" pada bulan Ogos tahun ini. Puan Xue Hanqin, selaku Duta Besar China ke ASEAN berkata,
"Ketika menghadapi krisis, China dan ASEAN mengubah cabaran menjadi peluang yang baru untuk mempertingkat kerjasama antara kedua-dua pihak melalui peningkatan kerjasama dan hubungan yang saling mempercayai. Sebagai Duta Besar China ke ASEAN, saya amat gembira menyaksikan pencapaian baru antara kedua-dua pihak ini."
Sekarang, ASEAN sedang berusaha menggalakkan integrasi, manakala, China pula terus mendorong kemakmuran bagi masyarakat secara menyeluruh. Menurut Xue Hanqin, CAFTA yang akan siap dibina ini menandakan hubungan kerjasama kedua-dua pihak sudah memasuki fasa yang baru.
"Bagi saya, dalam banyak-banyak bentuk kerjasama yang ada di kawasan Asia Timur, '10+1'merupakan bentuk kerjasama yang asas, terutamanya dalam bidang kerjasama ekonomi dan perdagangan. Jika pembinaan CAFTA diasaskan pada bentuk kerjasama '10+1', pembangunan sosioekonomi serantau pasti akan menggalakkan. Ini akan memainkan peranan yang penting bagi pembinaan integrasi ASEAN, dan akan mendorong pembangunan ekonomi dan pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka."
"Saling menguntungkan" merupakan perkataan yang paling banyak disebut oleh Puan Xue Hanqin ketika CAFTA dibincangkan. Menurut beliau,
"Hubungan China-ASEAN merupakan kerjasama Selatan-Selatan pada asasnya, iaitu kerjasama antara negara-negara membangun. Oleh itu, aspek saling menguntungkan perlu diutamakan dalam pembinaan CAFTA."